FOKUS

SPRM siasat Daim dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram…

Isu tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat milik keluarga Tun Daim Zainuddin terus mencuri perhatian ramai.

Tanda tanya yang paling hangat berlegar bekas Menteri Kewangan yang diketahui umum rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat atas kes apa.

Hal ini telah dijawab sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.

Katanya agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan itu.

SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Azam Baki turut menjelaskan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu, tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan itu.

Selain ruang pejabat,pada bangunan yang terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu juga terdapat sebuah hotel lima bintang.

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.

“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.

Azam Baki berkata, proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.

Katanya langkah sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan.-23/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button