Keputusan kes rasuah Zizie…isteri Allahyarham Datuk Bung pada 20 Julai ini

Penentu samaada isteri Allahyarham Datuk Bung Mokthar Radin yakni Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta akan diketahui 20 Julai ini.

Tarikh berkenaan ditetapkan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas selesai mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan kes membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad pada hari ini.

Jika disabitkan kesalahan, Zizie,48 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bagaimanapun, pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Zizie didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.- 18/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.