Tiada projek pembangunan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dibatalkan setakat ini, walaupum industri pembinaan berdepan tekanan peningkatan kos bahan binaan dan operasi susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan kekal komited meneruskan semua projek pembangunan kerana sektor pembinaan merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita memang tidak akan menghentikan mana-mana projek kerana industri pembinaan ini adalah enjin pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebab itu kerajaan meneruskan semua surat setuju terima yang telah ditandatangani, dan projek-projek berkenaan akan tetap diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Building Industry Presidents’ Forum and Awards (BIFA) 2026 di sini, hari ini.
Menurut Nanta, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini telah mengarahkan kementeriannya untuk merangka langkah bagi mendepani kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis di Asia Barat, menerusi strategi jangka pendek, sederhana dan panjang.
Sementara itu, Nanta berkata antara cabaran utama ketika ini ialah peningkatan kos, khususnya harga bahan binaan serta kos logistik dan pengangkutan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu masih belum berada pada tahap yang memerlukan tindakan drastik seperti menghentikan projek.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sedang meneliti beberapa strategi khusus bagi membantu sektor pembinaan berdepan tekanan kos semasa susulan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.
“Kita mengambil maklum pandangan Persatuan Kontraktor Kecil Bumiputera Malaysia (PKBM) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) serta lain-lain persatuan,” katanya.
Katanya, cadangan tersebut masih di peringkat penelitian kerajaan dan belum dilaksanakan, namun strategi sedia ada telah dipersetujui dan boleh digerakkan sekiranya diperlukan.-19/5/2026

