TAHUKAH ANDA
Pemumpin UMNO kata pemimpin DAP ‘dangkal adab’… UMNO bersama Tuanku!
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengecam kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa mempersenda titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak beradab terhadap Institusi Raja walaupun kononnya memahami Perlembagaan Persekutuan.
“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja.
“Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.
“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sultan Selangor sebelum ini menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Dalam hantaran di Faceboook, Tony didakwa berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau turut didakwa menyatakan rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah yang mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Tony berkata, beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata.-20/5/2026

