Nampaknya semua pihak boleh bertenang dan tidak perlu kecoh dengan cerita yang bukan-bukan.
Ribut yang melanda gara-gara Tindakan politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar PKR tidak bikin Kerajaan Perpaduan goyang.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil beritahu media isu politik itu turut disentuh dalam mesyuarat kabinet hari ini.
Ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada bercakap mengenai soal pilihanraya umum awal sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bharu pada Ahad lalu.
Maka beliau ada memaklumkan kepada jemaah menteri mengenai perkara itu.
Fahmi kata semua parti komponen dalam kerajaan Perpaduan, khususnya BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan komitmen untuk terus menyokong dan bersama kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sehingga berakhirnya penggal pentadbiran.
“Parti komponen dalam kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, jadi komitmen itu diulangi dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.
“Komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara sekaligus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat, serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Pada Konvensyen PH Anwar yang juga pengerusi PH membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Cadangan itu sebahagiannya didorong oleh keputusan BN untuk bergerak solo dalam pilihan raya negeri Johor akan datang.
Perdana menteri juga membayangkan PH akan bertanding di semua kerusi di mana-mana negeri yang BN memilih untuk bergerak sendiri.- 20/5/2026

