FOKUS

Covid-19 : Tiong VS Dr Dzul…

Kurang cantik rasanya kalau dua menteri bertegang urat di khalayak ramai.

Elok mereka duduk semeja buka data dan fakta untuk mencari titik temu dalam isu Covid -19 yang kesnya dilaporkan makin meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing melihatnya dari sudut kepentingan kemasokan pelancong manakala Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula dari sudut kesihatan.

Isu Covid-19 agak sensitif kerana rakyat negara ini telah melalui zaman getir PKP yang panjang pada 2020-2021 dulu.

Ia boleh jadi panas gara gara Tiong tidak setuju dengan cara Dr Dzul bercakap pasal Covid -19 semasa sidang akhbar beliau pada 18 Disember lalu.

Baginya ia boleh menimbulkan keresahan orang ramai terhadap situasi Covid-19 di negara ini serta menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu dalam satu kenyataan pada Ahad gesa Menteri Kesihatan supaya lebih berhati-hati apabila memberi maklumat mengenai Covid-19 agar “tidak menimbulkan ketakutan yang tidak perlu dan meresahkan orang ramai.”

“Tidak dinafikan bahawa Covid-19 merupakan isu kesihatan awam yang penting dan tidak boleh ‘disorok bawah karpet’.

“Namun, kita juga tidak seharusnya bertindak secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

“Penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia, terutamanya sektor pelancongan sekaligus merugikan ekonomi negara.

“Saya membuat rayuan ini berdasarkan kepada kebimbangan serta aduan yang dinyatakan oleh kedua-dua industri pelancongan dan orang ramai. Kita perlu mengambil pendekatan realistik, dengan mengambil kira perbezaan situasi semasa dengan situasi yang pernah berlaku sebelum ini ketika wabak mula menular.

“Penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia, terutamanya sektor pelancongan sekaligus merugikan ekonomi negara,” katanya.

Tiong meminta Dr Dzul mempertimbangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia dan membandingkan pendekatannya dengan cara menteri kesihatan Indonesia menangani situasi itu.

Beliau mengingatkan walaupun Menteri Kesihatan Indonesia telah mengeluarkan kenyataan mengenai koronavirus, dia menjelaskan bahawa situasi pandemik untuk perayaan Krismas dan Tahun Baru akan datang tidak berada pada tahap yang membimbangkan.

“Perbandingan kenyataan menteri kesihatan kedua-dua negara dengan mudah menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia jauh lebih berbahaya daripada Indonesia.

“Ini boleh menyebabkan pelancong mengelak daripada mengunjungi Malaysia dan memilih negara jiran Indonesia, seterusnya menyebabkan kerugian ekonomi kepada Malaysia,” kata.

Pada sidang media 18 Disember Dr Dzul menegaskan kerajaan tidak berhasrat mempertimbangkan langkah PKP pada masa ini.

Namun beliau antara lain telah mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini.

Sementara itu bercakap dalam konvensyen parti Amanah di Shah Alam pada Ahad ,Dr Dzul berkata situasi Covid-19 dinilai berdasarkan sistem yang sistematik dan bukan hanya melihat pada angka jangkitan.

“Ramalan model kita, Januari kes akan turun.

“Kita bukan lagi dalam ‘Covid war’. Kita sedang masuk fasa pandemik ke endemik. Jadi tindakan kita berwajaran,” katanya – 24/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button