PKR perkukuh kubu menjelang ‘perang besar’ di Pandan

Status kerusi Parlimen Pandan di Selangor yang terletak dipinggir Kuala Lumpur kini seolah sudah naik pangkat menjadi kawasan istimewa menjelang ‘perang besar’ di situ pada pilihanraya umum ke 16 nanti.

PKR nampaknya sudah set tidak mahu kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini terlepas dari tangan parti itu.

Bekas Menteri Ekonomi dan bekas Timbalan Presiden PKR itu sudah rasmi umum beliau akan berentap di kawasan itu atas tiket Parti Bersama yang diketuainya pada PRU 16 nanti.

Kalau ikut congak politik dan gerak geri PKR ramai yang jangka parti itu akan pasang Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berdepan dengan Rafizi dalam gelanggang itu.

Untuk memastikan kawasan Pandan mantap dan tidak tergugat PKR telah memperkuatkan kubu dan segala jaringan parti itu.

Satu berita besar muncul semalam bila Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amiruddin Saari umum kawasan Pandan kini menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah kali pertama Anwar jadikan sesuatu kawasan Parlimen sebagai kawasan Parlimen angkat beliau.

Dalam ucapan pada Himpunan Setia Keadilan Pandan ,Amiruddin juga umum Tengku Zafrul akan “menjaga” kawasan Pandan.

Katanya pemilihan Tengku Zafrul adalah atas permintaan Anwar sendiri, memandangkan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan bekas Menteri MITI itu mahu lebih agresif dalam lapangan politik di Selangor.

Menteri Besar Selangor itu berkata keputusan diambil pimpinan parti berkenaan adalah bagi mengatur semula pentadbiran pusat khidmat parlimen dan jentera parti di situ.

“Jadi kita aturkan (Tengku Zafrul) sebagai wakil kerajaan dan pastinya wakil Perdana Menteri (Anwar) di kawasan Pandan itu,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata beliau berharap mendapat sokongan penuh pimpinan dan akar umbi PKR di Pandan bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan itu.

“Saya perlukan teguran dan bimbingan daripada teman-teman. Saya amat mengharapkan saudara-saudari semua bersama-sama dengan saya menjelajah seluruh pelosok Ampang dan Pandan, di segenap sudut taman mahupun desa.

“Saya bukan yang terbaik, tetapi insya-Allah saya akan memberikan komitmen bahawa saya akan cuba sedaya upaya untuk mengetuk setiap rumah rakyat yang memerlukan pertolongan tanpa memilih latar belakang, agama, mahupun warna kulit,” katanya.

Pandan kebelakangan ini dikira sudah jadi kubu kuat PKR setelah Rafizi merampasnya pada pilihanraya umum 2013.

Rafizi menang selepas meraih 48,183 undi menewaskan calon BN, Lim Chin Yee (21,454 undi) dan Allan Tan calon Bebas 2,415 undi.

Pada PRU14 oleh kerana kes mahkamahnya Rafizi tidak bertanding.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail masuk bertanding di situ dan mendapat 64,733 undi.Beliau tewaskan empat calon lain.

Rafizi kembali ke Pandan pada PRU ke 15 .

Beliau berjaya mempertahan kerusi itu selepas meraih meraih 74,002 undi dengan majoriti sebanyak 32,348.

Rafizi menewaskan calon Perikatan Nasional, Muhammad Farique Zubir Albakri dengan 25,706 undi.

Ia diikuti calon Barisan Nasional, Datuk Leong Kok Wee sebanyak 11,664; Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Nadia Hanafiah (961) dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan jumlah undi sebanyak 3,323.

Dalam kawasan Parlimen Pandan terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri yakni Pandan Indah dan Teratai.

Kedua kerusi itu dimenangi oleh Pakatan Harapan menerusi Amanah di Pandan Indah dan DAP di Teratai.- 24/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.