Ini video lama…

Entahlah…apa motif pihak tertentu sebar video kononnya berlaku kesesakan di lapangan terbang akibat dibanjiri oleh pelancong warga China.
Sebenarnya ia adalah video lama yang dirakamkan pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Dato Ruslin Jusoh pada Ahad telah mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan hal ini.
KENYATAAN MEDIA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
MAKLUM BALAS VIDEO YANG TULAR DAKWAAN SITUASI KESESAKAN DISEBABKAN KEBANJIRAN WARGANEGARA CHINA DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada video yang tular dakwaan berlaku kesesakan di lapangan terbang akibat dibanjiri oleh pelancong warga China.
JIM ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah video lama yang dirakamkan pada tahun 2022 di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka
selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan. Video itu dirakamkan semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. JIM juga ingin menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara.
Mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari-hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim-musim perayaan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat. Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan Jabatan ini.
DATO’ RUSLIN BIN JUSOH
KETUA PENGARAH IMIGRESEN
MALAYSIA