Sunday - 22, December 2024

Prabowo-Gibran dahului persaingan jawatan tertinggi Indonesia

Share

“SATU malam yang mengubah arah mata angin,” begitulah komentar penganalisis politik terkemuka Indonesia Denny JA ketika mengulas debat calon Naib Presiden bagi Pilihan Raya Indonesia 2024.

Denny JA yang terkenal dengan hasil survey lapangan yang tepat menjangkakan kemampuan debat anak Presiden Indonesia Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka meningkatkan keboleh menangan pasangan Probowo Gibran menjelang hari pengundian pada 14 Februari akan datang.

Gibran, 35 tahun, sebelum ini diragukan mampu untuk berdebat mengenai isu-isu nasional bagaimanapun berjaya menguasai gelanggang pada debat yang diadakan baru-baru ini.

Pembangunan ibu negara, Nusantara di Kalimantan Timur, yang bernilai kira-kira AS$32 bilion serta dijadualkan siap pada 2045, menjadi topik perbahasan hangat dalam debat calon Naib Presiden bagi Pilihan Raya Indonesia 2024.

Gibran jelas menguasai subjek perbincangan mendahului dua lagi calon iaitu Mahfud MD dan Muhaimin Iskandar, menyuarakan pelbagai pandangan secara mendalam berhubung perkara itu, termasuk dari segi bajet serta kepentingan, ketika sesi soal jawab.

Mahfud mengutarakan kebimbangan mengenai kebergantungan pemerintah terhadap bajet negara, sekali gus memberi amaran mengenai potensi timbul isu pemilikan tanah, serta kurangnya pembabitan pelabur swasta dalam pembangunan Nusantara.

“Setakat yang kita tahu, hingga kini tidak ada pelabur yang masuk. Berikan contoh jika ada pelabur,” katanya yang juga Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan.

Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin pula menitikberatkan projek infrastruktur berbanding projek cita-cita besar, serta mencadangkan peruntukan perlu disalurkan kepada projek pembinaan jalan dan sekolah.

Gibran menekankan pembinaan infrastruktur di Nusantara yang sedang giat dijalankan, sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan serta simbol transformasi pembangunan di Indonesia.

Beliau menjelaskan, hanya 20 peratus daripada kos pembinaan Nusantara datang daripada bajet negara, manakala bakinya daripada pelabur seperti konglomerat Mayapada Group dan pemaju hartanah Agung Sedayu Group.

“Lebih banyak pelabur bakal menyertai selepas Pilihan Raya Presiden, bergantung pada kestabilan politik,” kata Gibran yang juga anak Presiden Joko Widodo.

Gibran yang juga Datuk Bandar Solo, berjanji mengembangkan program hiliran kepada sektor pertanian, perikanan dan digital sekiranya memenangi pilihan raya nanti.

Gandingan kepada calon Presiden, Prabowo Subianto itu mahu pembangunan di luar Pulau Jawa dirancakkan, selain memacu ekonomi kreatif serta perusahaan kecil dan sederhana (SME), selain menjadikan Indonesia pusat tenaga hijau dunia dengan pembangunan biodiesel.

Mahfud yang bergandingan dengan calon Presiden, Ganjar Pranowo pula bertekad untuk mendaulatkan undang-undang, membanteras rasuah dalam badan perundangan dan kehakiman serta sektor perlombongan.

Beliau percaya perkara itu dapat memastikan pelaburan dan pembangunan berterusan, serta pertumbuhan ekonomi yang lancar dan dinikmati rakyat.

Muhaimin pula mahu menaikkan cukai terhadap golongan kaya, dan sebaliknya menurunkan cukai bagi golongan pertengahan serta menjadikan bantuan sosial sebagai kewajipan negara.

Selain itu, beliau yang juga gandingan kepada seorang lagi calon Presiden, Anies Baswedan, mahu menyediakan dana dalam bentuk pinjaman untuk golongan muda berniaga dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, serta membangunkan kawasan desa.

Read more

khabar terbaru