Masalah PN makin parah…Bersatu bantah Pejuang dan PCM diterima jadi anggota baru

Ini bukan khabar angin atau cerita karut yang dikutip tepi jalan.Siapa saja yang baca kenyataan akhbar Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Selasa mengenai mesyuarat tergempar Perikatan Nasional(PN) di ibupejabat PAS Isnin malam dapat menilai sendiri ‘ketegangan’ yang sedang berlegar dalam gabungan itu.

Apa tidaknya.Pada ketika Pengerusi PN Datuk Sri Ahmad Samsuri Mokthar kata mesyuarat dua jam itu berlangsung dalam keadaan yang sangat harmoni dan membina…orang kuat Bersatu itu dakwa hasil mesyuarat itu hanya akan menambah masalah dalaman PN yang sedia ada.

Beliau merujuk kepada keputusan meluluskan permohonan dua parti politik, iaitu Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai parti anggota gabungan PN yang baharu.

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahmad Faizal sendiri.

Rasa tidak puashati Bersatu jelas terpancar bila Muhyiddin dan Ahmad Faizal pulang terus dan tidak sertai sidang akhbar selepas mesyuarat yang diberi oleh Ahmad Samsuri.

Dalam kenyataan itu Ahmad Faizal secara terbuka kata partinya membantah cadangan PN menerima Pejuang dan PCM sebagai anggota gabungan itu.

Katanya bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat Datuk Seri Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Agung PCM, namun rekod rasmi menunjukkan Setiausaha Agung PCM bagi tempoh 2026 hingga 2027 ialah Yeo Kwee Kwang.

Katanya, maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama PCM kepada Wawasan Negara belum diluluskan JPPM.

“Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, wakil Bersatu turut membangkitkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpandangan mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan susulan maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau berkata, JPPM sebelum itu memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN kepada jabatan berkenaan tidak lengkap dan tiada tandatangan.

“PN diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukakan maklumat berkaitan, selain JPPM berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal memaklumkan isu kerusi tumpuan Bersatu bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor turut dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, calon Bersatu di Johor akan menggunakan logo PN selepas perkara itu dipersetujui Pengerusi PN.

“Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi bagi tujuan penyediaan watikah serta surat kebenaran menggunakan simbol PN.

“Sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan memastikan perjalanan serta segala urusan pentadbiran, pengurusan dan aktiviti PN dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN, selain mematuhi Akta Pertubuhan 1966 dan mana-mana peraturan yang dikuatkuasakan JPPM,” katanya.- 23/6/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.