Puad Zakarshi jawab dakwaan merajuk kerana anak tak terpilih calun…saya lakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin

Nampaknya isu Datuk Dr Puad Zakarshi keluar Umno akan jadi cerita yang panjang menyelubungi senario kempen menjelang pilihanraya negeri Johor.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu tidak tunggu lama untuk menjawab dakwaan beliau umum keluar Umno serta merta hari ini semata mata kerana anaknya tidak terpilih sebagai calon.

Dalam hantaran menerusi media sosial lewat petang Khamis,beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan bekas ADUN Rengit dakwa beliau memprotes sistem pemilihan calon yang dilakukan parti itu.

Serentak itu beliau turut persoal apakah salah baginya mencadangkan anaknya sebagai calon.

“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.

“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon.

“Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur,” katanya.

Puad Zakarshi turut mempersoalkan keputusan BN mencalonkan semula penyandang ADUN Endau, Alwiyah Talib, walaupun tidak sampai sebulan kembali menyertai Umno selepas dua penggal menjadi wakil rakyat Bersatu.

“Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing. Apakah Ketua Pemuda Umno Mersing juga tidak layak. Kenapa BN tolak calon anak muda. Hebatkah si Alwiyah itu?

“Itu juga yang berlaku kepada Azizul Bachok bekas Adun Tiram. Dia orang muda.

“Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme?

“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada?

“Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” katanya lagi.

Puad turut memberi amaran akan mengulas lanjut isu pemilihan calon dalam tempoh sehari dua lagi, termasuk berhubung dakwaan pengisian jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melibatkan anak dan isteri pemimpin Umno.- 25/6/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.