Jika BN kembali perintah, Zahid jamin kerajaan Johor selari Persekutuan

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan jaminan akan memastikan Kerajaan Negeri Johor sentiasa bergerak selari, dan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Persekutuan sekiranya terus diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata kepimpinan yang baik berakar umbi daripada kestabilan politik yang kukuh, terutamanya apabila kemenangan dicapai dengan jumlah kerusi dan majoriti yang lebih tinggi.

Pentadbiran BN pada peringkat negeri tidak pernah berniat untuk menyanggah pentadbiran peringkat pusat dalam mana-mana kempen pilihan raya.

“Saya memberikan jaminan bahawa jika mandat diberikan semula, kerajaan di negeri Johor yang dipimpin oleh sahabat kita akan terus bersama-sama dengan kerajaan pusat demi kepentingan bangsa Johor keseluruhan, insya-Allah,” katanya pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Kemas Negeri Johor di Maktab Rendah Sains MARA Pontian, di Pontian hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan komitmennya untuk memastikan kebersamaan sepenuhnya antara pentadbiran negeri dengan Putrajaya demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada.

“Saya ingin sebutkan bahawa Kerajaan Negeri Johor yang akan dibentuk, apatah lagi jika mandat lebih besar diberikan, saya dan kita (BN) akan pastikan bahawa Kerajaan Negeri Johor ini adalah kerajaan yang akan terus selari dengan kerajaan pusat di Putrajaya,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi sentimen politik dengan mendakwa pengundi kononnya perlu memilih wakil daripada kelompok tertentu sahaja bagi menjamin keselarasan dengan kerajaan pusat.

“Dan jangan main-mainkan isu, hanya pilih mereka yang kononnya datang daripada gabungan atau parti yang sama. Kita pun dalam gabungan yang sama,” katanya.

Beliau menyeru para pengundi dan calon yang bertanding sepanjang tempoh kempen 14 hari ini untuk melaksanakan proses demokrasi dengan matang bagi memilih wakil rakyat yang mampu memperkukuh kestabilan serta memajukan negeri Johor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan kelancaran serta keselamatan proses pilihan raya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memuji peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan menyatakan hasrat supaya skim gaji warga KEMAS dapat ditambah baik melalui cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan.

  • Bernama-27/6/2026
This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.