Undilah calon Melayu – Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pengundi Melayu supaya mengundi calon Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam surat terbuka dimuatnaik media sosial, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, langkah itu perlu dilakukan supaya negara ini terus kekal sebagai Tanah Melayu.

Kata beliau, pengundi Melayu perlu memilih calon Melayu tanpa kesetiaan kepada mana-mana parti atau puak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Dr Mahathir, orang Melayu bakal berdepan pilihan calon dan kesan daripada pemilihan itu amat besar.

“Kesan pilihan amat berat iaitu sama ada Tanah Melayu akan terus jadi Tanah Melayu atau jadi tanah bukan Melayu.

“Siapa dianya calon Melayu. Itu akan diberitahu semasa PRU,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan kesetiaan orang Melayu ialah kepada bangsanya sendiri.

“Jika kesetiaan ini diberi kepada parti atau puak akan hilanglah Tanah Melayu.

“Tanpa Tanah Melayu akan hilanglah bangsa Melayu di dunia ini. Melayu akan jadi bangsa yang tidak mempunyai negara,” jelasnya.-1/7/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.