Ini dikatakan bukan satu kejutan tetapi sudah dijangka.
Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.
Keputusan berkenaan dimaklum menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada PRN Johor Sabtu lalu Bersama bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun hilang deposit di semua tempat.
Bersama yang masuk pada usia baru 52 hari parti ditubuhkan mendapat undi terkumpul sebanyak 28,816 di semua 15 kerusi berkenaan.
Ada kalangan pemerhati politik menilai keputusan Bersama itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Mereka merasa antara faktor utama ia mempunyai kaitan dengan hubungan ‘sangat rapat’ sejak sekian lama antara Rafizi dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Malah darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ diterima oleh Rafizi ialah dari Istana Negeri Sembilan.

Namun dalam kenyataan parti itu ia memberitahu Bersama tidak masuk di Negeri Sembilan kerana hendak beri tumpuan kepada PRN di Melaka nanti.
PRN Melaka dijangka akan diadakan tidak lama lagi dalam tahun ini.
Katanya terdapat beberapa perbezaan ketara antara PRN Negeri Sembilan dengan Johor menyebabkan keputusan itu diambil.
“Pertama, persaingan di antara PH dan BN adalah lebih sengit di Negeri Sembilan, termasuk faktor PH sebagai kerajaan negeri.
“Kedua, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan”.
Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, Bersama berpendapat adalah lebih strategik agar fokus Bersama beralih kepada PRN Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang.
“Oleh itu, Bersama tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka.
“Mesyuarat persediaan awal PRN Melaka akan diadakan pada hari Selasa, 21 Julai untuk mengenal pasti kerusi dan mula menyaring calon-calon, agar calon-calon dapat diumumkan lebih awal.” – 15/7/2026

