BERSATU bermula sebagai parti pembangkang.
Perjuangan menentang kleptokrasi yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1MDB membawa kepada penubuhan BERSATU.
Ini asas kewujudan BERSATU.
Asas ini jangan dilupakan.
Kedudukan BERSATU hari ini adalah sebagai parti pembangkang seperti di peringkat awal penubuhannya.
Malah, keadaannya lebih mencabar kerana BERSATU adalah satu-satunya parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia.
Kenapa saya kata tunggal?
Kerana Pakatan Harapan adalah kerajaan di Persekutuan dan di beberapa negeri.
Barisan Nasional juga adalah kerajaan di Persekutuan dan di beberapa negeri.
Malah, apabila Perikatan Nasional mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional, Perikatan Nasional juga secara tidak langsung telah menjadi parti yang menyokong parti kerajaan.
Mampukah BERSATU bertahan dalam menghadapi cabaran dan tentangan daripada parti-parti kerajaan dan pro-kerajaan?
Bagi saya isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan.
Kerana kini ada satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia.
Tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan.
Tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk membawa suara rakyat dalam keadaan kehidupan rakyat semakin tertekan.
Barisan Nasional boleh bercakap berdegar-degar inilah masanya untuk membenamkan Pakatan Harapan serta disambut dengan senyum simpul oleh Perikatan Nasional-PAS, tetapi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak boleh lari walau seinci pun daripada tanggungjawab kolektif (collective responsibility) melaksanakan dasar-dasar yang membebankan rakyat seperti kenaikan harga diesel dan petrol, kegagalan menangani isu kos sara hidup rakyat dengan berkesan, kegagalan melaksanakan reformasi institusi dan banyak lagi dasar-dasar yang membebankan rakyat dan perniagaan.
Khususnya kepada UMNO dan Barisan Nasional, jangan tutup segala kelemahan ini dengan menghempap segala kesalahan ke atas bahu orang lain sambil mengaut nikmat sebagai kerajaan dan akhirnya berselindung di bawah selimut Penyatuan Ummah dan Penyatuan Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu.
Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa.
BERSATU bebas daripada semua sandiwara ini.
BERSATU bertekad untuk istiqamah dengan matlamat dan dasar perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara.
BERSATU walaupun berhadapan dengan cabaran dan tentangan yang bukan sedikit, jiwanya mesti besar.
BERSATU UNTUK MALAYSIA!
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
18 Julai 2026

