Apa makna ni… tak ada calon Melayu PH menang kerusi di PRN N.Sembilan

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan ke-16, serta kegagalan kesemua 22 calon Melayu daripada gabungan itu memenangi kerusi ditandingi pada PRN Negeri Sembilan meletakkan PH dalam keadaan serius, tetapi belum boleh dianggap sebagai kemerosotan atau keruntuhan menyeluruh, kata penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik di Universiti Malaya (UM) itu berkata gabungan politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu perlu melakukan muhasabah secara jujur untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap PH terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan bukan sekadar menyalahkan politik identiti atau propaganda lawan.

“Keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan formula, naratif dan strategi PH yang pernah berkesan sebelum ini semakin kehilangan daya tarikan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan pengundi di kawasan separa bandar serta luar bandar.

“Lebih membimbangkan, kekalahan berlaku di negeri yang ditadbir PH selama dua penggal. Ini bermakna kelebihan sebagai kerajaan negeri, rekod pentadbiran dan penampilan calon berprofil tinggi tidak lagi mencukupi untuk menjamin kemenangan.

“Sekiranya pola ini berterusan, maka PH akan menghadapi laluan sukar dalam PRU16,” katanya.

Lebih kritikal, kata Dr Mohammad Tawfiq ialah kegagalan kesemua 22 calon Melayu PH memenangi kerusi.

“PH kini memasuki DUN Negeri Sembilan tanpa seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu, dengan sembilan kerusi dimenangi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan dua oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi.

“Keputusan ini memberi petunjuk bahawa PH sedang berhadapan krisis perwakilan dan kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu. PKR dan Amanah yang sepatutnya menjadi jambatan PH kepada pengundi Melayu gagal memainkan peranan tersebut,” katanya.

Namun, menurut Dr Mohammad Tawfik, kekalahan tersebut bukan bermakna seluruh rakyat telah menolak PH kerana gabungan itu masih memperoleh sekitar 40 peratus undi popular dan menjadi blok tunggal yang meraih undi paling banyak.

“Masalah utamanya ialah undi itu tidak tersebar secara strategik sehingga dapat diterjemahkan kepada kemenangan kerusi,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, PH ditumbangkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang buat julung kali membentuk persefahaman dalam pilihan raya menerusi pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan dan pecah undi.

Kerjasama itu berhasil memberi kemenangan kepada BN-PN yang memenangi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri.

PH yang bertanding di semua 36 kerusi DUN hanya memenangi 11 kerusi, merosot berbanding 17 kerusi pada PRN 2023.

Justeru Dr Mohammad Tawfik melihat PH perlu segera memulihkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu menerusi prestasi kerajaan dan melalui penyelesaian yang dapat dirasakan dalam isu kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan dan perkhidmatan awam.

“Kedua, PH perlu membina semula jaringan akar umbi, khususnya di kawasan Melayu, Felda, luar bandar dan separa bandar. Kehadiran pemimpin ketika musim pilihan raya sahaja tidak mencukupi.

“Ketiga, parti komponen PH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mesti melahirkan tokoh Melayu yang mempunyai pengaruh tempatan, kredibiliti dan hubungan berterusan dengan masyarakat.

“Keempat komunikasi PH perlu lebih mudah, konsisten dan dekat dengan kehidupan rakyat. Bagi saya kejayaan pelaburan atau angka ekonomi tidak akan memberi kesan politik sekiranya rakyat tidak merasakan perubahan dalam kehidupan harian mereka.

“Rakyat hari ini lebih cenderung kepada ‘politik perut’ iaitu mereka akan menyokong parti yang menjaga kehidupan mereka lebih selesa dari segi gaji, harga barang murah, rumah murah dan kos sara hidup yang tidak membebankan,” katanya.-4/8/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.