Daim muncul…dakwa jadi ‘buruan politik’

Hari ini Khamis 28 Disember genap seminggu berita mengenai tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tersebar di media.
Tindakan SPRM keatas bangunan setinggi 60 tingkat terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu sebenarnya berkuatkuasa pada 18 Disember mengikut tarikh notis SPRM.
Pada sebelah pagi tadi Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri,Shamsul Iskandar Mohd Akin telah membuat satu kenyataan balas pada kenyataan bernada sinis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
pada Rabu yang minta semua orang yang bergelar ‘Tun’ disiasat.
Semua orang tahu Daim ialah orang yang rapat dengan Dr Mahathir.
Beliau pernah menjadi Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan di zaman pentabiran beliau dulu.
Pada sebelah awal petang Daim muncul bersuara mengenai isu yang beliau hadapi.
Menerusi satu kenyataan beliau menafikan sekeras-kerasnya sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk dilakukan oleh dirinya mahu pun keluarga beliau.
Serentak dengan itu Daim menyifatkan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram itu sebagai ‘pemburuan politik’.
Beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menghormati kedaulatan undang-undang.
Katanya tidak wajar bagi seorang Perdana Menteri untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan dengan membuat sindiran terang-terangan tentang rasa bersalah secara terbuka.
Mengenai Azam, Daim mengatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah membuat pelbagai komen bersifat prejudis terhadap dirinya di khalayak ramai sedangkan siasatan masih berjalan.
Katanya, perkara tersebut sesuatu yang tidak boleh diterima, tidak profesional dan mencurigakan.
Beliau menegaskan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sejak awal penyiasatan dengan agensi itu kerap berkomunikasi melalui peguamnya.
“Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang.
“Sebagai bekas anggota kanan kerajaan dan kerana menghormati proses siasatan, saya berdiam diri sehingga kini.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri dan SPRM tidak menunjukkan rasa hormat yang sama terhadap proses itu dengan komen dan kenyataan mereka yang tidak wajar menyebabkan saya tiada pilihan selain bertindak balas demi menjaga reputasi dan nama baik saya.
“Tetapi bukan itu sahaja yang membimbangkan saya. Saya amat mengambil berat tentang keadilan dan integriti institusi kita. Institusi mesti dilindungi demi kepentingan negara,” katanya.
Daim mendakwa tidak pernah dimaklumkan tentang kesalahan yang telah dilakukan walaupun telah berulang kali bertanyakan secara bertulis kepada SPRM.
Juga dakwa Daim, terdapat usaha terancang untuk memburukkan dirinya dengan mengeluarkan maklumat yang salah dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya.
“Umum mengetahui bahawa Anwar atas sebab-sebab yang beliau ketahui menganggap saya sebagai ancaman politik dan musuh yang mesti dihina.
“Kecaman terbaharu Anwar terhadap saya pada 22 Disember lalu mengatakan ‘rahsia umum, seorang yang menggondol kekayaan begitu besar’ adalah satu tohmahan melulu dan tidak berasas kononnya saya bersalah atas beberapa kesalahan yang tidak dinyatakan.
“Ini cukup menunjukkan kebenciannya terhadap saya,” katanya.
Daim menegaskan beliau telah berunding dengan peguam berhubung perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat.-28/12/2023
BERITA SEBELUM INI
SPRM siasat Daim dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram…
23, December 2023
Isu tindakan SPRM sita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat milik keluarga Tun Daim Zainuddin terus mencuri perhatian ramai.
Tanda tanya yang paling hangat berlegar bekas Menteri Kewangan yang diketahui umum rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat atas kes apa.
Hal ini telah dijawab sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.
Katanya agensi itu sedang siasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan itu.
SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.
Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.
Azam Baki turut menjelaskan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu, tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan itu.
Selain ruang pejabat,pada bangunan yang terletak di Jalan Binjai ,Kuala Lumpur itu juga terdapat sebuah hotel lima bintang.
“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.
“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.
Azam Baki berkata, proses sita bangunan itu bukan satu satunya kes seumpamanya.
Katanya langkah sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan.-23/12/2023
SPRM sita Menara Ilham …ini komen Perdana Menteri
22, December 2023
Kecuali ramai petugas media datang pada Jumaat membuat liputan sekitar Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin…suasana di bangunan 60 tingkat di Jalan Binjai,Kuala Lumpur adalah seperti hari biasa.
Tinjauan juga dapati tiada kawalan luarbiasa sekitar bangunan itu yang turut menempatkan hotel lima bintang selain dari ruang pejabat.
Kisah bangunan berkenaan disita oleh SPRM tersebar Khamis malam.
Ia dikatakan disita berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.
Urus niaga itu melibatkan syarikat Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Beberapa orang pekerja di bangunan itu juga seolah bingung tidak tahu menahu kisah bangunan itu disita dan berkata mereka setakat ini kerja seperti biasa sehingga ada arahan selanjutnya.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara meminta semua pihak tidak buat tafsiran dan serahkan pada SPRM jalakan tugas dan tanggongjawab mereka.
“Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa. Sistem apa begitu,” katanya.
Beliau menafikan ada muslihat tertentu berhubung tindakan SPRM menyita Menara Ilham.
Anwar berkata siasatan badan anti rasuah itu membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.
SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, sebab itu saya sebut Tun ke, Tan Sri, kalau tidak nanti ada kritikan ikan kecil ditangkap tetapi kepala tidak boleh disentuh,” katanya/
“Jadi itu tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran.- 22/12/2023