Apakah isu kartel tender kerajaan akan berlalu bagai ditiup angin ?

Pendedahan sudah dibuat….malah ia sudah jadi isu viral yang hangat diperbualkan.
Apakah ia sekadar isu yang akan berlalu bagai ditiup angin lalu begitu sahaja
Sedangkan ramai yang berpendapat tindak tanduk kotor dalam taktik bidaan tender kerajaan ini perlu dibenteras segera.
Pada Rabu Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail dedah mengenai syarikat-syarikat tertentu dikesan cuba memanipulasi tawaran tender.
Beliau memberitahu dalam temu bual program Niaga AWANI bertajuk ‘Jangan Duga Taring MyCC’ lebih 500 syarikat kini berada di dalam ‘radar’ MyCC kerana dipercayai membentuk ‘kartel’ untuk membida tender projek kerajaan.
Antara modus operandi adalah, ada pemilik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.
“Antara modus operandi ialah mereka ini berkomplot atau bersekongkol antara satu sama lain dan menyerahkan tender secara beramai-ramai…. (sebagai contoh) 50 syarikat sekali (hantar bidaan tender).
Mengulas gejala ini Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abd Karim menegaskan, penipuan cara itu sama besar dengan ancaman rasuah.
Beliau berpendapat pasukan pakar forensik daripada pelbagai agensi yang pernah ditubuhkan sebelum ini perlu diaktifkan semula bagi mengekang segera isu kartel yang semakin berleluasa.
Jais menegaskan, strategi lebih ampuh amat diperlukan agensi penguatkuasaan bagi memastikan isu kartel dalam sesuatu sektor atau industri dapat ditangani sewajarnya.
Beliau menilai kenyataan bahawa 500 syarikat di Malaysia sedang berada di bawah penelitian MyCC kerana didakwa membentuk kartel untuk memanipulasi projek tender kerajaan adalah amat serius.
Pada masa sama, kata beliau, strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri untuk menggunakan nama sebagai proksi memberikan impak negatif terhadap persaingan yang adil.
“Isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam daripada pelbagai perspektif.
“Pasukan pakar forensik pelbagai agensi itu pasti akan dapat mengesan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan Khamis sebagai reaksi kepada pendedahan Iskandar.
Mengulas lanjut, Jais berkata, pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan serta tindakan tegas dapat dilakukan segera.
Jelasnya, perlindungan kepada pemberi maklumat atau whistleblower juga perlu diperkemas dengan jaminan keselamatan bakal merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan.
Beliau memaklumkan, penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti juga dapat membina tekanan positif untuk mencapai ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diinginkan.
“Kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutama ketika ramai rakyat sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi yang serius.
“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” katanya.-28/12/2023