TAHUKAH ANDA

Ketua Muslimat Pas terima pingat dari Agong

KETUA Dewan Muslimat Pas Pusat Nuridah Mohd Salleh dan bekas Ahli Parlimen Pas Kemaman Che Alias Hamid antara dua orang penerima pingat daripada Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 302 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi mendahului senarai penerima yang membawa gelaran Datuk tersebut.

Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan JMN kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahmad Tarmidzi Ramly, bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia Dr Amir Hashim Md Yatim dan bekas Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur Jabatan Kerja Raya Dr Lim Char Ching

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 14 penerima termasuk bekas Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan Darjah Johan Setia Diraja (JSD) kepada Brig Jen Baharudin Abu Hassan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Selain itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 41 penerima, Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 74 penerima, Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 150 penerima dan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD) kepada 17 penerima.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button