Menteri Hal Ehwal Agama jawab cadangan Pengerusi DAP Perak….

Cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali.
Ini ditegaskan dalam kenyataan pada Jumaat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Dr Mohd Naim Mokthar sebagai reaksi kepada cadangan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.
Dalam kenyataan itu Dr Mohd Naim memberitahu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam (“Jawatankuasa Khas”) telah pun ditubuhkan dan Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas ini berlangsung pada 5 Disember 2023.
” Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.
” Kesemua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.
“Anggota Jawatankuasa Khas yang telah dilantik pada masa ini untuk menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing.
” Selanjutnya, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.
“Oleh yang demikian, cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali.
Menurut Dr Mohd Naim dalam perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.
” Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam. Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan.-29/12/2023