FOKUS

Langkah Dubai…antara realiti dan fantasi

Ketika orang sedang bercuti sana sini dalam mood nak sambut masuk tahun baru 2024…ramai juga yang sedang halakan teropong kearah kota Dubai di Timur Tengah.

Nama kota ini tiba tiba mencuri perhatian bila seorang pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mendakwa satu perancangan yang dipanggil ‘ Langkah Dubai’ nak jatuhkan kerajaan perpaduan sedang diatur oleh musuh politik di sana.

Alkisahnya bunyi operasinya macam cerita James Bond dalam siri 007.

Ada juga yang buat jenaka tanya kenapa perancangan seumpama itu perlu dibuat begitu jauh sampai memerlukan 8 jam penerbangan dari Malaysia.

Kata mereka sedangkan ia boleh diatur di Kepong,Sungai Buloh,Petaling Jaya atau di Shah Alam saja.Paling tidak di Langkawi atau jauh sikit di Hadyai.

Mungkin dalam politik kena ada unsur sensasi sikit…atau yang berbau internasional baru syok.

Di celah ini semua…satu hakikat dalam politik yang diterima pakai satu dunia ialah….’tiada yang mustahil dalam politik’.

Siapa sangka kerajaan yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pilihanraya umum 2018 boleh tumbang dalam tempoh 22 bulan menerusi ‘Langkah Sheraton’.

Kenangan tentang kejutan seperti ini mungkin membuat ada yang berpeluh tengok kiri kanan depan belakang atas bawah bila timbul sosek tentang bab ‘ langkah’.

Apapun bercakap diatas kertas…setelah campur tolak bahagi dan daraf…tidak ramai pemerhati politik veteran yang boleh telan begitu saja cerita ‘Langkah Dubai’.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man adalah antara pimpinan politik yang pandang sepi kisah ini.

“Lebih ramai pemimpin politik berkunjung ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah berbanding ke Dubai.

“Kerajaan sudah memiliki majoriti dua per tiga, apa hendak dibimbangkan?

“Kalau diikutkan, pemimpin ke Makkah lagi ramai, terutama pada musim cuti (sekolah) ini tetapi tidak ada pula ditimbulkan Langkah Mekah,” katanya seperti dipetik BH Online.

Tuan Ibrahim juga menilai dakwaan tersebut adalah rekaan semata-mata.

“Ia hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi. Lebih baik memberi tumpuan kepada permasalahan rakyat, malah banjir pun belum selesai lagi,” katanya.

Bekas Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Mazlan pula bersusah payah mengunakan istilah yang bombastik yakni ” fatamorgana’.

Kalau kita cari di google…Fatamorgana membawa maksud pembiasan cahaya melalui kepadatan yang berbeza, sehingga boleh membuat sesuatu yang tidak wujud menjadi seolah-olah wujud.

Dalam istilah lain ia cuma fantasi….atau seperti kata Tuan Ibrahim rekaan semata mata.

Dari sudut realitinya,Ahmad Mazlan yakni orang lama yang cukup arif dengan sepak terajang politik nyata bukan sembang kosong.

“Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana. Utk 30 MP #UMNO/#BN, kami sudah tandatangan kena bayar rm100 juta seorang jika ingin lompat.

“Siapa MP ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, Kjaan masih kekal, dgn 122 sokongan. (147+5-30). #Rakyat inginkan kestabilan & kekuatan ekonomi.’kata Ahli Parlimen Pontian itu menerusi aplikasi X.

Beliau jelas merujuk kepada 147 ahli parlimen kerajaan serta lima ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan baru-baru ini.

Juga jangan lupa bos kerajaan perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dua kali baru baru ini berkata cubaan untuk ‘tebuk atap’ jatuhkan kerajaan tidak akan berlaku.

Beliau beritahu semasa pertemuan dengan para pengarang media di Putrajaya ini kerana sokongan padu dari blok Sarawak.

Anwar berkata Premier Sarawak Abang Johari dalam pertemuan dengan beliau mendedahkan ada beberapa percubaan yang agak terdesak untuk memujuk beliau dan partinya, namun cubaan itu ditolak dengan tegas.

“Katanya dalam beberapa pertemuan terakhir ada percubaan itu dan beliau secara konsisten menolak dengan tegas bahawa tidak akan melayani sebarang perbincangan untuk meretakkan hubungan Sarawak dan Persekutuan serta hubungan dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

“Dalam senario politik semasa ini, peranan atau pendirian GPS itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan itu (kerajaan) berlaku.

Sebelum itu dalam satu majlis lain Anwar menegaskan bahawa bumbung kerajaan perpaduan kini diperbuat dari konkrit dan sebarang cubaan untuk tebuknya pasti gagal.- 31/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button