BERMULA sebagai syarikat pengeluaran beteri pada tahun 1995, siapa sangka BYD kini menjadi raja industri kereta elektrik di dunia.
Syarikat China tersebut memintas Tesla untuk merangkul kedudukan sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) nombor satu dunia 2022 dengan jualan keseluruhan 1.86 juta unit sepanjang tahun lalu yang sebahagian besar di China.
Jualan kenderaan BYD sepanjang Disember lalu ialah 235,197 unit, meningkat 4 peratus berbanding prestasi November 2022. Sebagai perbandingan, BYD pada Disember 2021 cuma menjual 93,945 unit kenderaan.
Pengeluar itu turut meneroka beberapa pasaran baharu seperti Eropah, Jepun dan Malaysia pada tahun lalu. Sebagai makluman, firma pelaburan milik taikun Warren Buffett, Berkshire Hathaway juga memiliki pegangan dalam BYD.
Antara punca jualan BYD melonjak naik adalah senario semasa seperti perubahan dalam industri teknologi di China, jualan pukal kereta sewa dan teksi, dan perubahan trend pembelian pelanggan selain pandemik Covid-19.
Pelanggan di China juga lebih cenderung membeli EV lebih murah dan buatan tempatan berbanding jenama asing atau model import seperti Tesla. Pengurus Kanan firma Suolei, Eric Han berkata, “BYD mendapat manfaat ‘penurunan penggunaan’ ketika ekonomi China semakin merosot.
“Kenderaan untuk pasaran massa mereka diterima baik pengguna kelas pertengahan di negara itu yang melihat jenama tersebut sebagai produk berbaloi untuk wang.”
China dengan polisi sifar Covid-19 menyaksikan perintah berkurung dan arahan penutupan serata Tanah Besar sepanjang tahun lalu yang memberi impak terhadap negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. Kesannya mendorong pengguna mengawal perbelanjaan terhadap produk tertentu seperti pembelian kenderaan.
Pengurus Jualan Yiyou Auto Service di Shanghai, Tian Maowei berkata, “Harga EV bawah 200,000 yuan popular dalam kalangan pengguna kolar putih kerana mereka mahu jimatkan perbelanjaan.
“Di pasaran tempatan, EV dan hibrid BYD lebih mudah dijual kerana dilengkapi bateri prestasi tinggi yang dipercayai setanding komponen digunakan pengeluar EV premium.”
BYD mencatat rekod jualan baharu 10 bulan berturut-turut sejak Mac 2022 dengan merampas kedudukan Tesla milik Elon Musk sejak suku kedua tahun lalu. Berkshire Hathaway memiliki 14.9 peratus saham BYD di Bursa Hong Kong setakat 8 Disember 2022.
Tesla pula membuat kiriman 405,278 unit EV ke pasaran dunia sepanjang tiga bulan terakhir tahun lalu. Kiriman global terkumpul tahun lalu naik 40 peratus kepada 1.31 juta unit, tetapi angka itu masih ketinggalan 29 peratus berbanding jualan BYD.
BYD diasaskan bilionair China, Wang Chuanfu pada 1995, bermula sebagai pengeluar bateri sebelum terlibat dalam pembuatan kenderaan pada 2003.
Produk pek bateri jenis litium ferum fosfat blade BYD terbukti berkualiti hingga meraih keyakinan dalam kalangan pemandu di China dan pengeluar kenderaan.
Sel pek bateri disusun dalam format tertentu yang membantu meningkatkan ketumpatan tenaga, dan mampu menambah baik rintangan terhadap isu panas lampau (overheating). Malah pek bateri Blade itu juga pernah dibekalkan ke kilang Tesla di Berlin, Jerman.
Kebanyakan model EV BYD dijual di China, tetapi pengeluar itu juga bercita-cita menjadi pemain global dengan rancangan meluaskan perniagaan ke pasaran baharu. Tahun lalu, BYD sudah mendarat di Malaysia menerusi Atto 3 dan dua model lain, iaitu Seal dan Dolphin yang dijangka tiba tidak lama lagi.
Pertumbuhan kiriman EV di China dijangka menurun 30 peratus tahun ini selepas peningkatan berganda tahun lalu kepada anggaran 6.4 juta kenderaan. Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) meramalkan penurunan itu juga disebabkan tiada lagi subsidi tunai bermula Januari 2023.
Bagaimanapun, China tetap menjadi pasaran EV terbesar dunia dengan setiap tiga daripada lima kenderaan baharu di jalan raya negara itu dijangka dikuasakan bateri menjelang 2025.
Pada masa sama, Tesla masih kekal sebagai peneraju segmen EV premium di China. Dalam tempoh 11 bulan pertama 2022, Gigafactory Tesla di Shanghai sudah mengirim lebih 390,000 unit Tesla Model 3 dan Tesla Model Y kepada pelanggan tempatan.
Jumlah itu 21.5 peratus lebih tinggi berbanding keseluruhan jualan 321,000 unit Tesla sepanjang 2021 – SCMP