Tak sangka tahap Menteri Besar (Datuk Seri Sanusi Muhammad Nor) pun sanggup bermain dengan persepsi seolah-olah Kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat.
Apakah kenyataan seperti ini bertanggung-jawab sedangkan kepimpinan PN pun menafikan ada sebarang gerakan seumpama itu?
Apakah YAB MB Kedah mahu mensabotaj ekonomi negara yang hari ini sudah melalui fasa pemulihan selepas mendapat keyakinan dan kepercayaan pelabur bahawa politik tanah air sudah stabil?
Apakah YAB MB Kedah mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan BN 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?
Bagi saya, semua dakwaan kewujudan SD ini hanyalah mainan persepsi kerana 3 faktor berikut:
- DYMM Yang DiPertuan Agong sudah berkali-kali menitahkan baginda tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar Kerajaan.
- Pembangkang yang hanya tinggal 69 orang memerlukan 43 orang lagi untuk mencukupkan 112. GPS terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong PN kerana dalamnya ada parti ekstrim PAS.
Ahli-Ahli Parlimen BN pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan.
- Peluang terakhir untuk menukar Kerajaan adalah hanya melalui Usul Tidak Percaya di Parlimen. Kalaupun ada Ahli-ahli Parlimen yang menanda-tangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka.
Mungkin sebab itulah Pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun berkali-kali YAB PM mencabar mereka melakukannya.
Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini.
Tunggulah 4 tahun sahaja lagi untuk Pilihanraya Umum diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan.
DATO DR ASYRAF WAJDI
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
8/1/2024