TAHUKAH ANDA

Apa cerita isu pengampunan Najib ?

Menjelang peralihan Yang Dipertuan Agong dari Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada hujung bulan ini kedengaran berbagai desas desus disebar.

Antaranya ialah kemungkinan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjara itu akan didengar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada minggu ketiga Januari.

Ia telah dilaporkan oleh saluran Channel News Asia (CNA) ,Singapura.

CNA memetik seorang dikatakan orang kepercayaan Najib berkata terdapat “suasana positif” mengenai petisyen pengampunan itu, sekiranya permohonan itu didengar dalam mesyuarat bulan ini.

Mesyuarat berkenaan adalah antara tugas akhir Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 31 Januari.

Mengulas mengenainya pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat mingguan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim…Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang bertindak sebagai jurucakap kerajaan kata kabinet tak bincang isu pengampunan Najib.

Beliau menjelaskan terdapat proses sewajarnya yang perlu diikuti dan perkara itu akhirnya terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Biasanya kita tidak boleh mendahului proses itu. Jadi kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan untuk berbincang.

“Itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan,” katanya.

Isu permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan daripada mesyuarat bulan lepas kerana lembaga yang terdiri daripada enam anggota itu memutuskan ia memerlukan lebih masa untuk membincangkan isu berkenaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana kes rasuah RM42 juta SRC International.-10/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button