FOKUS

Reaksi Dr Mahathir dan Muhyiddin dakwaan cuba rasuah YDP Agong…

Ikut jalan ceritanya ini semua bermula dari tulisan di sebuah laman blog yang tidak dikenali pada 8 Januari baru ini.Tajuk tulisan itu ialah ‘PN cuba merasuah YDPA’.

Klik punya klik tidak ada tulisan atau laporan lain pada laman blog itu kecuali tulisan itu saja.

Tidak ada nama siapa penulis blog itu atau siapa pemilik blog itu.

Tulisan itu tidak memetik sebarang sumber.Ia dalam bentuk bercerita.

Walaupun macam bentuk surat layang sahaja namun dakwaan yang dibuat oleh tulisan itu nyata amat serius.

Apa tidaknya tulisan itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuba untuk merasuah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebanyak RM1 bilion dalam usaha mereka untuk merampas kerajaan ketika ini.

Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa oleh tulisan itu mengetuai cubaan memberi rasuah kepada YDPA.

Turut dikaitkan ialah nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Kelmarin Azman Abidin, Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa polis menyiasat dakwaan terdapat pihak sanggup menyediakan dana RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan.

Dakwanya, ia sebahagian daripada usaha yang dinamakan Langkah Dubai.

Pada hari sama tulisan itu disiar ,seorang pegawai Hamzah yakni Ahmad Ikhwan Fadhli telah membuat laporan polis di PD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir sendiri tidak tunggu lama untuk jawab dakwaan itu.

Katanya di media sosial dakwa beliau cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong RM500 juta hingga RM1bilion.

“Sila buktikan bahawa saya melakukan ini. Membuat kenyataan sedemikian dan menyembunyikan identiti anda adalah pengecut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu semalam.

Beliau tafsir pihak yang melemparkan fitnah tersebut seolah-olah turut mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong ditangkap kerana menerima rasuah daripada beliau.

“Dalam rasuah, kedua-dua pemberi dan penerima sama-sama bersalah.

“Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil RM1bilion daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang,” katanya.

Sementara itu bekas Perdana Menteri yang juga pemimpin PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

“Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan.

“Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Laporan polis telah dibuat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk samada melalui pilihanraya atau di luar pilihanraya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan.

Jelas beliau, peruntukan Perlembagaan itu mesti dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan.

“Saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor ini.

“Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri,” katanya.- 11/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button