FOKUS

Bayangkan…RM200,000 hangus untuk majlis rasmi kempen saja

Bagus…rasanya ini satu keputusan yang menarik.Ia diumum oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Cuba kira balik berapa banyak yang dibelanjakan dari tahun ke tahun pada setiap musim perayaan.

Soalnya apakah kempen demi kempen ini berkesan?

Kalau lihat pada statistik jumlah kemalangan jalanraya terus meningkat di celah segala bentuk kempen yang dibuat selama ini.

Ini baru cakap bab kempen keselamatan jalanraya saja.

Bagaimana pula tentang macam macam jenis kempen yang dibuat selama ini.

Ada diantaranya diketahui umum setakat hangat masa majlis perasmian saja….lepas itu kempen tinggal kempen.

Pada Jumaat…Anthony Loke umum mulai tahun ini majlis pelancaran kempen-kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan diadakan lagi.

Tahukah anda berapa banyak wang kerajaan yang hangus kena belanja untuk majlis perasmian kempen itu saja.

Menteri itu kata ia akan melibatkan kos hampir RM200,000 termasuk perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siar raya dan pemasangan khemah.

Katanya semua majlis pelancaran ini tidak perlu.

Namun operasi bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diteruskan.

“Ia tidak akan dihentikan. Kita hentikan majlis perasmian sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 MOT di Putrajaya.

Anthony Loke kata,“kalau syarikat swasta nak buat kempen – boleh, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik, mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya, kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” tambahnya.

Terdahulu dalam amanatnya, beliau berkata antara fokus MOT tahun ini adalah membudayakan aspek keselamatan tidak kira sektor darat, udara mahupun maritim.

Beliau memberitahu hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya tahun lepas.

Media baru ini melaporkan sebanyak 1.2 juta kemalangan jalan raya telah direkodkan di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2023 yang membabitkan sejumlah 13,516 kematian.- 12/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button