Zahid cadang Rang Undang Undang halang kerajaan ‘tebuk atap’

Cadangan ini sudah tentu akan mencetuskan perdebatan kerana ia satu langkah besar dalam arina politik negara.
Kalau diterima ia akan letak tanda titik dan terus tutup buku kepada sebarang langkah untuk bentuk kerajaan ‘tebuk atap’.
Sebelum ini sudah ada Akta Lompat Parti untuk bendung sebarang tindak tanduk ala katak kalangan Ahli Parlimen.
Namun terbukti ada sikit kelompongan pada akta itu.
Ini bila mana lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional baru baru ini alih sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim…tanpa lompat parti.
Apa yang jelas ialah kalau ia boleh berlaku dikalangan Ahli Parlimen pembangkang maka ia juga boleh berlaku pada Ahli Parlimen kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu muncul dengan satu idea baru.
Beliau mencadangkann agar satu rang undang-undang (RUU) khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.
Tambahan pula, kata Zahid, sesebuah kerajaan itu dapat dibentuk hanya selepas ia mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas (kemenangan) sesebuah parti itu yang dominan, atau gabungan parti politik itu dominan, dengan mendapat perkenan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.
“Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” katanya dalam sidang media pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kuala Lumpur.
Beliau imbas kembali kisah negara ditabir oleh tiga Perdana Menteri selepas pilihanraya umum November 2022.
Katanya tidak wajar ia dibiarkan berulang.
Zahid kata kesannya khususnya dari sudut ekonomi dirasai oleh rakyat.
Beliau menyifatkan ia satu pengalaman yang menyakitkan.
Sejak dua minggu kebelakangan ini situasi politik negara dihangatkan oleh isu Langkah Dubai yakni gerakan untuk tumbangkan kerajaan perpaduan.- 13/1/2024