Jika PM sudah ada di sana…biarlah sampai habis

Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah blok penting dalam kerajaan perpaduan.Malah gabungan yang mempunyai 23 kerusi parlimen itu sudah dianggap sebagai ‘king maker’.
Atas sebab itu gerak langkah bos GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak di celah sebarang percaturan politik nasional sentiasa mencuri perhatian.
Abang Johari atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Jo’ nampaknya tidak goyang langsung.
Beliau sekali lagi telah menyuarakan sokongan tegasnya pada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami di Sarawak berkehendakkan negara Malaysia yang kuat… kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik.”katanya.
Bercakap semasa sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak Sabtu malam beliau menegaskan Anwar harus dikekalkan untuk menerajui negara sehingga tamat penggal Parlimen.
Premier Sarawak itu berkata mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa yang menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya dan sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.
“Jika Perdana Menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis… kalau (kita tukar Perdana Menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya.
Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov 2022.
Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.
Pada PRU ke 15 pada tNovember 2022 GPS menang 23 dari 31 kerusi Parlimen.
Manakala pada pilihanraya negeri 2021 GPS menang 76 dari 82 kerusi.- 14/1/2024