FOKUS

Itu kenyataan tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan PM…

Dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang persoal kesetiaan kaum India pada negara terus undang kontroversi.

Kali ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim halakan meriam kearah bekas Perdana Menteri itu.

Beliau menjawab soalan wartawan mengenainya selepas menghadiri Majlis Peluncuran ‘Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat’ di Serdang, pada Selasa.

Dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV baru baru ini Dr Mahathir dakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Ia telah cetuskan kemarahan dari kalangan pimpinan politik pelbagai kaum khususnya kaum India.

Anwar menyifatkan tindak tanduk buat kenyataan berunsur perkauman sebegitu suatu kecenderungan Dr Mahathir.

“Dia sememangnya terkenal. Orang Melayu bagi dia malas, melainkan dia. Orang India dan Cina itu dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.

Beliau juga menilai dakwaan Dr Mahathir merupakan cubaan untuk mengalih pandangan terhadap kesungguhan kerajaan membanteras rasuah, usaha mendigitalkan Malaysia dan inisiatif peralihan tenaga.

“Saya tidak anggap kenyataan Tun Dr Mahathir itu relevan. Itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan Perdana Menteri sekian lama, kemudian menghina mana-mana kaum, sama ada majoriti, minoriti.

“Saya fikir kenyataan dia itu kita bantah keras, sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya, semua rakyat yang setia, harus kita hormati.

“Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita,” kata Anwar.

Sementara itu diminta mengulas cadangan Timbalan Predana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi diwujudkan satu rang undang-undang (RUU) untuk menghalang cubaan menjatuhkan kerajaan beliau memberitahu hal berkenaan
belum dibincangkan lagi.

Menurutnya cadangan itu bukan keutamaan baginya kerana belum ada kata sepakat dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan.

“Ia terlalu awal,”katanya.

Zahid membuat cadangan untuk sekat cubaan ‘ tebuk atap’ dan memastikan kerajaan yang memerintah kekal sampai habis penggal.-16/1/2024



BERITA SEBELUM INI : Dr Mahathir persoal kesetiaan masyarakat India pada Malaysia….

13, January 2024

Dalam satu interbiu menerusi alam maya dengan TV satelit India, Thanthi TV,bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan kontroversi bila beliau mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Beliau memberi contoh orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil.

Dakwaan Dr Mahathir telah bangkitkan kemarahan kalangan pimpinan masyarakat India di negara ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago kata “kaum India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi dan politik Malaysia.

“Tindakan mesti diambil ke atasnya kerana kenyataan yang memecahbelahkan itu berpotensi membahayakan masyarakat berbilang kaum ini,” kata Charles pada Sabtu.

BERIKUT IALAH LAPORAN PENUH MALAYSIAKINI.COM MENGENAI INTERBIU BERKENAAN:

Dr M anggap masyarakat India tak setia sepenuhnya pada M’sia

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu “berasimilasi sepenuhnya” menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: “Ya… mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maskud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu.”

Hos kemudian bertanya jika Mahathir mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu dan bukannya rakyat Malaysia.

“Sepatutnya begitu,” kata ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu.

Mahathir mendakwa di mana-mana negara, jika ada mana-mana individu mahu mengatakan mereka milik negara tertentu, mereka perlu dikenal pasti sebagai peribumi.

Apabila hos terbabit menegaskan bahawa ada yang berpendapat bahawa Orang Asli mempunyai lebih hak sebagai “anak peribumi”, Mahathir berkata dia memiliki pandangannya yang berbeza.

Temu bual itu kemudian beralih kepada isu asal-usul Mahathir yang didakwa mempunyai kaitan dengan India, dia menafikan kenyataan itu sepenuhnya.

“Tidak, saya bukan orang India. Saya orang Melayu kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa India, dan itu sudah lama dahulu.

“Saya kini 100 peratus Melayu, saya berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat dan tradisi Melayu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mahu semua rakyat Malaysia mengikuti langkahnya, Mahathir menjawab: “Ya, jika mereka mahu mendakwa negara ini sebagai negara mereka, mereka mesti mengenal pasti diri mereka sepenuhnya dengan negara ini.”

Ahli politik berusia 98 tahun itu juga menafikan dia tahu sebarang susur-galurnya dengan India (khususnya Kerala) dan menegaskan dia adalah “100 peratus Melayu.”

Mahathir kemudiannya ditanya pendapatnya mengenai sumbangan orang bukan Melayu kepada pembinaan negara dan ekonomi, lalu menganggap pihak terbabit sudah diberikan “pampasan yang adil”.-13/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button