FOKUS

KEMASKINI : Ini dia ‘Langkah Mahathir’…sidang akhbar sejam

Setelah enggan ulas apa apa langsung pada wartawan pada Sabtu lalu dengan kata ‘tunggu Isnin nanti’ Tun Dr Mahathir Mohamad adakan sidang akhbar sekitar satu jam untuk persoal tindakan SPRM siasat anaknya Mirzan Mahathir dan isu berkaitan.

Dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Isnin itu beliau juga mendakwa kerajaan sekarang hanya tumpu siasat pada musuh musuh politik dan lepaskan mereka yang sokong.

Bekas Perdana Menteri yang diapit oleh dua orang peguam juga mendakwa dan mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menyiasat akaun bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad Khalid 24 tahun lampau
bahawa Perdana Menteri Datuki Seri Anwar Ibrahim ketika itu ada RM3 billion dalam 20 akaun bank.

Beliau juga tolak dakwaan Anwar bahawa sukar untuk siasat mereka yang bergelar ‘ Tun’.

Katanya Perdana Menteri , Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pesurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sukar untuk disiasat.

“Saya mudah untuk disiasat kerana kerajaan mempunyai kuasa. Saya tidak ada kuasa.

“Yang susah nak siasat adalah Perdana Menteri (Anwar), ‘kepala’ SPRM, pegawai tertinggi dalam kerajaan seperti TPM . Itu susah,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar tanpa menyebut secara spesifik menyatakan tidak mudah untuk menyiasat orang besar yang bertindak mencuri duit termasuk ‘Tun’.

Kata Dr Mahathir, dia sendiri sedia untuk disiasat.

“Kerajaan ada kuasa, anda boleh lakukan (siasatan) dan saya bersedia untuk disiasat.

“Nak tengok akaun saya atau apa, boleh tengok. Bank mana (yang berkaitan)… nak tuduh saya tak bayar hasil, boleh tengok.

“Boleh siasat saya kononnya ada duit berbilion,”katanya.

Dr Mahathir mengakui beliau risau memikirkan nasib anaknya Mirzan sedang disiasat SPRM.

Katanya notis arahan pengisytiharan harta yang berikan SPRM baru-baru ini sebagai tidak masuk akal.

Hal itu kerana, katanya, Mirzan, perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang begitu terhad.

“Risaulah… sebagai anak saya, dia bagi tahu dapat notis dan suruh dia jelaskan segala transaksi yang dia buat sejak dia berusia 20 tahun.

“Yang tu dia kena jawablah dia boleh jawab atau tidak dalam tempoh 30 hari…. 42 tahun punya transaksi kena jawab 30 hari,” katanya.

Menurut Mahathir untuk membolehkan anaknya yang berusia 66 tahun itu memberi penjelasan, banyak pihak yang perlu dihubungi.

“Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” katanya lagi.

Dr Mahathir mendakwa tindakan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk membongkar segala kesalahan yang dilakukannya selama ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan, Mirzan diminta SPRM untuk mendedahkan segala kesalahan yang beliau pernah lakukan ketika dalam tampuk pemerintahan.

“Daripada mendakwa saya, dia (SPRM) suruh anak saya untuk beri (dedahkan) bukti,”katanya.

Serentak dengan itu Dr Mahathir mencabar Anwar untuk mengadakan pilihan raya bagi menentukan sokongan rakyat kepadanya.

Beliau mendakwa ketika ini pimpinan Anwar menyalahgunakan kuasa dengan menyiasat pihak yang dilihat menggugat kedudukannya.

“Saya menang lima pilihan raya dengan majoriti dua per tiga. Rakyat ada peluang untuk menukar saya (tetapi) tak berlaku. Kalau saya menyalahgunakan kedudukan, saya akan buat satu pilihan raya.

Jadi saya cabar Anwar untuk adakan satu pilihan raya umum hari ini, sama ada dia berani atau tidak untuk melihat apa yang rakyat akan katakan,” katanya.- 22/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Apa agaknya ‘Langkah Mahathir’ Isnin ini ?

Kalangan wartawan yang biasa buat liputan acara Tun Dr Mahathir Mohamad dari zaman dulu sampai sekarang sudah cukup masak dengan stail bekas Perdana Menteri itu.

Ini bab bila wartawan ajukan soalan semasa sidang akhbar yang diadakan selepas majlis.

Ataupun jika sidang akhbar tidak diatur oleh penganjur majlis biasanya wartawan akan ‘ambush’ beliau dengan soalan semasa berjalan meninggalkan majlis hingga di pintu kereta.

Setiap Perdana Menteri ada stail masing masing.

Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim agak sama dalam bab ini.

Boleh kata jarang sangat mereka tidak layan soalan untuk beri jawapan baik secara ringkas ataupun panjang lebar.

Namun lain sikit bila Dr Mahathir ditemui wartawan selepas acara Sesi Minda Negarawan: Iktibar 150 tahun Perjanjian Pangkor di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Sabtu.

Dr Mahathir enggan jawab apa apa ketika diminta ulas isu-isu semasa serta dakwaan berkaitan siasatan SPRM terhadap anaknya, Mirzan.

“Tunggu Isnin nanti ” katanya.

Ini kerana beliau akan mengadakan satu sidang media khas pada Isnin ini.

Mirzan dipanggil beri keterangan kepada SPRM pada Khamis.

SPRM telah beri notis kepada tokoh koprat itu supaya isytihar semua asetnya dalam tempoh 30 hari.

Perintah itu merupakan tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada Jumaat bekas Perdana Menteri itu telah guna laman X dan facebooknya buat kenyataan menghentam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempersoalkan siasatan terhadap anaknya.

Baru baru ini beliau telah buat kenyataan di celah kehangataan isu SPRM siasat bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.

Kali ini ia secara langsung melibatkan anaknya.

Kenyataan menerusi media sosial sudah dibuat.

Soalnya apa lagi yang beliau nak ‘tembak’.

Kalau sebut pasal suatu sidang media khas biasanya mesti ada yang lebih sensasi.

Jadi apa agaknya ‘Langkah Mahathir’ Isnin nanti? – 20/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button