Dengar kisah Anwar ni…pasal bayar cukai

Kalau ada tabiat liat nak bayar cukai kepada kastam barangan yang dibeli di luar negara segala macam…sila dengar pesanan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesej yang ingin Perdana Menteri sampaikan ialah tiada siapa yang terlepas daripada membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk dirinya.
Jadi sendiri mau ingat selepas balik dari seronok dan belanja sakan di luar negara.
Berucap dalam majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya pada Selasa ,Anwar antara lain beri contoh dengan bercerita beliau turut dikenakan cukai
sebanyak RM500 susulan minyak zaitun yang diberikan salah seorang sahabat dari negara Arab.
Anwar menjelaskan dirinya tetap membayar meskipun boleh merayu.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, minyak tersebut diterimanya sejak beberapa tahun lalu, namun cukai tersebut tidak dikenakan ketika beliau menjadi pembangkang sebelum ini.
“Bila saya jadi Perdana Menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai…RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.
“Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain pun begitu (jangan culas).
“Itu bezanya… ada yang rasa bila jadi Perdana Menteri, sudah hebat, beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan sama, Anwar turut menzahirkan penghormatan kepada pasukan JKDM yang begitu komited dalam melaksanakan tugas.
Katanya, pelbagai kejayaan yang diraih pasukan itu termasuk mencapai sasaran kutipan cukai dan mematahkan penyeludupan wajar diberikan pujian.- 23/1/2024