FOKUS

Ini jawapan SPRM pasal dakwaan Anwar ada RM3 billion…

Ingat balik…dalam sidang akhbarnya pada hari Isnin 22 Januari baru ini Tun Mahathir Mohamad antara lain dakwa tiada siasatan dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid beliau ada RM3 billion dalam 20 akaun berasingan.

Bekas Perdana Menteri itu adakan sidang akhbar sekitar sejam lamanya di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya untuk ulas isu siasatan SPRM terhadap anaknya Mirzan dan keluarga Tun Daim Zainuddin.

SPRM dalam satu kenyataan Rabu menegaskan ia memandang serius kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

SPRM menjelaskan siasatan terhadap dakwaan itu telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, tetapi ia tidak membuahkan hasil.

BPR ketika itu sudah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan akuan bersumpah Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

“Siasatan sudah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu,”katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, enam kertas siasatan berkenaan sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

“Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara berkenaan berlaku ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,”katanya.

Untuk rekod, Murad dilaporkan telah menarik balik akuan berkanun (SD) yang dibuatnya dan menuduh BPR memaksa dia menandatangani dokumen tersebut.- 24/1/2024

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SPRM

BPR/SPRM JALANKAN SIASATAN TERHADAP AKUAN BERSUMPAH DATO’ ABDUL MURAD

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media bertarikh 22 Januari 2024.

Tun Mahathir telah membuat tohmahan bahawa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Abdul Murad bin Khalid terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan rekod SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Dato’ Seri Anwar susulan akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad yang telah dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura. Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Dato’ Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

24 JANUARI 2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button