Pemuda Perikatan Nasional menyedari kepentingan rombakan dan penyusunan semula berkaitan pengurusan perbelanjaan pencen untuk pesara bagi memastikan kestabilan kewangan negara. Namun begitu, Pemuda PN menggesa kerajaan agar menimbang semula tindakan yang telah diputuskan.
Keputusan semasa yang diputuskan oleh Kabinet untuk menamatkan skim pencen bagi kakitangan kerajaan baru yang diambil secara tetap memerlukan penilaian yang lebih teliti, mengambil kira hak pencen yang jelas dinyatakan dalam Artikel 147 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pencen 1980 (Akta 227).
Bahkan, YAB PMX Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menegaskan pada awal 2023 bahwa kerajaan persekutuan tidak akan menarik balik skim pencen, memandangkan peruntukanya yang jelas dalam Perlembagaan. Keputusan ini harus dipertimbangkan kembali dengan melibatkan semua pihak terkait.
Dalam konteks ini, terdapat keperluan mendesak untuk pihak kerajaan untuk menimbang kembali keputusan pemansuhan skim pencen dan mencari solusi alternatif yang tidak hanya menguntungkan rakyat, tetapi juga membantu mengurangkan beban kewangan negara, selaras dengan janji sebelumnya oleh YAB Perdana Menteri.
Pemuda Perikatan Nasional menggesa agar kajian mendalam dan teliti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerajaan tergesa-gesa cuba mengumumkan sesuatu keputusan besar sebegini yang bakal memberikan kesan jangka masa panjang kepada rakyat dan negara.
YB Wan Ahmad Fayhsal
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional,
Ahli Parlimen Machang
26/1/2024