FOKUS

KEMASKINI : Kes ‘bayar sini RM100, balai RM300’..tiga anggota polis ditahan

Lanjutan dari kes saman pelancong asing yang naik campervan ‘bayar sini RM100, balai RM300’….tiga anggota polis Perak ditahan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu dalam kenyataan Selasa tiga anggota polis trafik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu berusia lingkungan 37 hingga 42 tahun.

Katanya mereka telah direman selama tiga hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular mengenai tindakan anggota trafik yang telah menahan pasangan pelancong warga United Kingdom (UK).

Katanya, anggota trafik itu kemudiannya telah menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan berjumlah RM100 di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

“Satu laporan polis telah diterima dan siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Kertas siasatan kes ini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah dilengkapkan.

“Selain itu, siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga turut dijalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- 30/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Sangat memalukan…kes saman pelancong asing ‘bayar sini RM100, balai RM300’

Kalau mengikut andaian melihat pada video kejadian ramai yang rasa (jika betul apa yang dilihat itu) kes ‘bayar sini RM100, balai RM300’ sangat memalukan.

Ini berikutan klip video pada saluran you tube Tread the globe,milik pasangan dari United Kingdom yang papar kisah disaman polis Malaysia kerana camper van mereka melanggar had laju.

Saluran Tread the globe mempunyai seramai 139,000 pengikut.

Semasa berita ini ditulis jam 11.30 malam Ahad seramai 61,000 orang sudah menonton klip video berkenaan bertajuk ‘UK Van Lifers STOPPED by the Police in MALAYSIA’.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Perak baru baru ini selepas mereka turun dari Cameron Highland itu polis trafik itu kedengaran berbual dengan mereka.

Setelah memberitahu kesalahan mereka anggota polis itu telah beri pilihan samaada bayar saman RM300 di balai atau bayar di situ RM100.

Dua pelancong itu telah bayar tunai RM100 kepadanya.

Pemandu campervan itu bertanya kepada anggota polis itu sama ada dia perlu menyemak dokumen mereka, namun polis itu memaklumkan ia tidak perlu.

Video berkenaan dipercayai dirakam menerusi dashcam campervan itu.

Dua pelancong itu adalah dalam pengembaraan keliling dunia guna campervan dan Malaysia merupakan negara ke-37 yang mereka lawati.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mereka menyedari video itu yang tular di media sosial hari ini dan berjanji akan menyiasatnya.

“Pihak JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut serta tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan Ahad malam.- 28/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button