FOKUS

Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib muktamad…- PM

Fakta yang ada di depan mata sekarang ialah apa sekalipun…keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan berubah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berselindung mengenai hal ini dicelah kehangatan perbahasan dan perbincangan sekarang pada keputusan yang dibuat lembaga berkenaan pada mesyuarat 29 Januari baru ini.

Perdana Menteri menyampaikan mesej itu pada amanat di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Isnin.

Serentak dengan itu beliau meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu dihentikan.

“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan,”katanya.

Perdana Menteri mengingatkan ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.

“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.

Anwar juga menjelaskan sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara antara asas yang dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dalam memberi pengurangan hukuman.

Perdana Menteri berkata sumbangan Najib itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk kaedah lain yang diperincikan.

“Pertama apa asas rayuan selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.- 5/2/2024

BERITA SEBELUM INI : Anwar kata Sultan Abdullah ambil kira semua pertimbangan sebelum buat keputusan pengampunan Najib…

Dalam wawancara dengan Al Jazeera Jumaat malam….Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pertimbangan telah diambil kira sebelum bekas Yang Dipertuan Agong,Sultan Abdullah membuat keputusan terhadap pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ,“saya pernah duduk dalam Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain.

“Tetapi sudah tentu Agong sebagai raja berperlembagaan, berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi. Baginda sudah tentu benteng untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Dan semua pertimbangan itu diambil kira dan kemudian Yang di-Pertuan Agong, selepas mendengar daripada lembaga, akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus yang bermakna (pembebasan) pada 2028,” katanya.

Anwar kata Najib boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika dia tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Menurutnya proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif Perdana Menteri dan kerajaan.

“Saya menghormati keputusan Agong sebelum ini. Sekarang kita ada Agong yang baru. Apa pun yang dirasakan seseorang itu – sudah tentu ia bersifat politik – ada yang menyokong, ada yang tidak.

“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa anda mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

“Sekarang Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati (dengan keputusan tersebut), itu adil, jika tidak memuaskan (tuntutan mereka) dia masih mempunyai ruang untuk merayu pada tahap berikutnya,” katanya dalam wawancara itu.

Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, yang bermakna bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan seawal 23 Ogos 2028.

Lembaga pengampunan juga mengurangkan denda yang dikenakan terhadap Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, kegagalan membayar denda itu boleh menyebabkan Najib dipenjarakan setahun lagi, di mana dia hanya akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029 – 2/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button