Saya anggap keputusan Lembaga Pengampunan petang Jumaat ini 02 Februari 2024 terhadap Datuk Seri Najib Razak bersabit kes SRC International adalah menasabah dan berpatutan.
Keputusan Lembaga Pengampunan yang mesti dipengerusiksn oleh Yang diPertuan Agong sebagai Raja yang berkuasa ke atas Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah, sama ada kita bersetuju dengannya ataupun tidak.
Ia tetap tidak boleh dibicarakan di mahkamah undang-undang sama ada Yang diPertuan Agong menerima nasihat Lembaca Pengampunan ataupun tidak.Kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang diPertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budibicara baginda dengan syarat sebelum Baginda Agong membuat keputusan terbut, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh Baginda.
Sama ada kita bersetuju atau tidak tentang hal semacam ini, itu adalah persoalan lain.Tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai sebuah negara walaupun demokrasi berparlimen, tetapi masih mengekalkan saki baki sistem feudal yang bersifat raja berperlembagaan.
Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ehsan ( court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa ( court of laws).
Saya menghormati dan sedia dengan hati terbuka menerima keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana Lembaga Pengampunan secara hakikinya tidak memberikan Pengampunan terhadap sabitan kesalahan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Undang-undang.
Dalam undang-undang ada dua perkara apabila seseorang dihukum oleh mahkamah.Yang pertama orang yang dituduh itu disabitkan bersalah.Kunci perkataannya ialah sabitan atau conviction dalam bahasa Inggeris.Selepas disabit bersalah maka orang yang dituduh itu dijatuhkan hukuman ke atasnya.Kata kuncinya ialah hukuman atau sentencing. Ini berlaku jika si tertuduh itu didapati bersalah.
Keputusan Lembaga Pengampunan ini tidak melepaskan Najib Razak.Sabitan bersalah ke atas Najib tetap kekal.Yang diringankan ialah jumlah hukuman dari 12 tahun kepada 6 tahun sahaja. Selain itu jumlah denda yang wajib dibayar daripada RM200 juta kepada RM50 juta sahaja.
Dalam isu pengurangan tahun penjara dan pegurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan tetapi soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormarti keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Datuk Najib Razak adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan Pengampunan.
Sebagai seorang anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009, saya melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak dalam kes SRC International akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan agensi memerangi rasuah SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah di Malaysia ini.
Keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib Razak telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
dan
Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)