Isu Najib : Tiada berita gempar dari mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO…

Bukan rahsia lagi ada pihak yang terus buat ramalan UMNO pasti akan bergegar sakan ekoran keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Segala meriam kemarahan atas kegagalan dapatkan pengampunan penuh untuk bebaskan bekas Perdana Menteri itu dari hukuman penjara 12 tahun dijangka sudah tentu akan dihalakan pada Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.
Sebab itu ramai yang ternanti nanti untuk dengar apa cerita yang muncul dari mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada pagi Sabtu di PWTC.
Zahid telah menangguhkan Kolokium Ekonomi Bumiputera yang sepatut dihadiri 2,000 orang semata mata untuk beri laluan kepada mesyuarat khas berkenaan.
Namun tidak ada khabar gempar muncul dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selama tiga jam itu.

Mesyuarat juga berlangsung tenang tenang saja.
Ketenangan juga terpancar dari raut wajah Ahli majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Nor Adam yang dikenali sebagai salah seorang ‘panglima’ Najib.
Beliau biasanya tampil garang bila bercakap isu isu berkaitan Bossku.
Lokman menjadi jurucakap UMNO yang bersua dengan para wartawan selepas mesyuarat selesai.
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah mengeluarkan satu kenyataan enam perenggan mengenai isu pengampunan Najib.
KENYATAAN MEDIA:
UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke- 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.
UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan Dato’ Seri Najib diteruskan.
UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Dato’ Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.
Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO
3 Februari 2024
Sementara itu bercakap kepada wartawan di lobi bangunan UMNO Lokman antara lain minta supaya semua pihak dan ahli-ahli UMNO bertenang.
“Alhamdulillah, kita menjunjung kasih keputusan telah dibuat Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah) dan Lembaga Pengampunan. Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.
“Ia belum selesai lagi, usaha kita akan berterusan.”Kita juga minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
“Kita nak pastikan supaya satu lagi pengampunan baru dapat diusahakan ke bawah Yang di-Pertuan Agong yang baru untuk dipertimbangkan,”katanya.
Beliau memberitahu UMNO akan terus berusaha dan akan kumpul tandatangan k dari seluruh negara untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja pada Najib.
Menurut Lokman kepimpinan parti komited dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib dan turut mengharapkan agar Perdana Menteri bersama dalam usaha itu.
“Kepimpinan parti secara konsensus berdiri teguh bersama Presiden untuk meneruskan usaha, dalam masa sama kita harap Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga bersama kita dalam usaha mendapatkan keadilan untuk Datuk Seri Najib,”katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Zahid yang menurutnya membolehkan petisyen Najib kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan “didengar awal”.
Lokman berkata petisyen untuk pengampunan lazimnya akan didengar selepas banduan menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman mereka.
“Kita juga nak ucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kalau nak ikutkan, Najib punya pengampunan diraja, sepatutnya sudah satu per tiga jalani hukuman baru boleh dapat didengar oleh Lembaga Pengampunan.
“Tetapi atas usaha oleh Presiden dan dengan dibawa oleh Perdana Menteri, maka Najib punya petisyen dapat didengar awal oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.
Lokman juga mengulas mengenai pengurangan tempoh penjara Najib dari 12 ke 6 tahun dan bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Katanya bekas ahli parlimen Pekan itu boleh dibebaskan lebih awal dan menyifatkan kenyataan Lembaga Pengampunan yang mengatakan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 itu kurang tepat.
Ini kerana katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan dan juga menjalani hukuman tahanan di rumah.
“Hukuman penjara separuh bukan sepenuhnya enam tahun, biasanya hanya dua pertiga daripada keseluruhan tempoh hukuman.
“Jadi, tak semestinya 23 Ogos 2028 akan dibebaskan. Pada masa sama, Datuk Seri Najib juga boleh memohon parol dan kita akan usahakan (untuk) tahanan di rumah,” katanya.-3/2/2024