INI khabar gembira untuk industri pelancongan di Langkawi Kedah selepas menerima kemasukan lebih 2,000 pelancong dari wilayah Chengdu dan Chongqing, China mulai bulan ini menerusi lapan penerbangan sewa khas.
Penerbangan sewa khas terus dari China ke Langkawi, yang pertama bagi 2024, selamat mendarat di Pulau Legenda itu pada Selasa dengan membawa 178 pelancong dari Chengdu.
Lebih menarik, kumpulan pelancong terbabit kelihatan teruja apabila disambut dengan perarakan bunga manggar, sireh junjung, paluan gendang pribumi dan persembahan tarian singa.
Majlis sambutan itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Amin Yahya.
Pada sidang medianya, Haslina berkata, LADA yakin penerbangan sewa khas dari Chengdu yang dikenali bandar bersejarah juga pusat perniagaan dan Chongqing (bandar pergunungan) memberi impak positif kepada pulau ini.
“Kerapkali apabila prestasi memberangsangkan, penganjuran penerbangan sewa khas akan diikuti dengan pengoperasian penerbangan berjadual tetap yang pasti membawa masuk lebih ramai pelancong ke pulau ini.
“Malah, pulau ini akan menerima peningkatan pelancong dari Asia Barat, Eropah dan Afrika pula sebaik syarikat Flydubai memulakan penerbangan terus Dubai-Langkawi, mulai Sabtu ini,” katanya.
Haslina berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan dari Poland bagi mengadakan sekurang-kurangnya 30 penerbangan terus Poland-Langkawi selama tiga tahun.
“Semua usaha dan pendekatan yang kita laksanakan ini bertujuan membantu kita mencapai sasaran kemasukan 3.5 juta pelancong tahun ini dengan purata 250,000 setiap bulan,” katanya.