FOKUS

KEMASKINI : Cabaran Lim Sian See…ini jawapan Rafizi

Rafizi Ramli yang sedang berada di hospital setelah menjalani pembedahan tulang belakang pada Isnin menjawab cabaran seorang blogger yang guna nama samaran ‘Lim Sian See’ untuk berentap
dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Katanya menerusi laman facebooknya selain Lim Sian Se beliau juga sedia berdepan dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zakarshi dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil.

Ketiga mereka dikenali sebagai orang kuat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Rafizi podcastnya akan kembali bersiaran pada Mac ini selepas beliau keluar hospital.

Katanya beliau perlu jalani rawatan di hospital selama dua minggu lagi.

Apapun sebelum berentap dengan mereka…Rafizi kata beliau perlu mendapat pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden Umno)

“Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani,”katanya.

BERIKUT IALAH TULISAN PENUH RAFIZI BAB CABARAN LIM SIAN SEE DAN PODCASTNYA DI FACEBOOKNYA PADA ISNIN

Sebelum ini, ada watak-watak seperti Isham Jalil dan Lim Sian See yang menawarkan diri untuk bersemuka dengan saya dalam YBM.

Saya tidak ada masalah sebenarnya. Dalam kerjaya saya, saya telah hadir dan bersemuka dalam pelbagai perdebatan, forum dan lain-lain. Malah saya pernah mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak berdebat pun sebelum PRU15 yang lepas.

Kini, watak-watak seperti Isham Jalil, Lim Sian See dan Puad Zarkashi menjadi ayam tambatan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering menyerang saya (dan kerajaan), sedangkan mereka ini adalah penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak (yang partinya adalah sebahagian dari Kerajaan Madani).

Watak-watak seperti inilah yang dilambung oleh aktivis maya PN, sedangkan tidak ada seorang pun pemimpin atau aktivis maya PN yang berani hadir bersemuka dengan saya dalam YBM.

Saya tahu watak-watak seperti ini mahu hadir kerana mereka membawa agenda tertentu. Mereka juga tahu saya terikat dengan tertib bersama dalam kerajaan, yang bermakna saya tidak bebas menyatakan sesuatu yang boleh menimbulkan kekeruhan dengan UMNO, iaitu salah satu parti yang menganggotai Kerajaan Madani.

Tetapi jika saya tidak bersuara mengenainya, yang lebih galak ialah pimpinan dan aktivis maya PN.

Oleh itu, saya terbuka untuk mereka hadir bersemuka di YBM selepas saya mendapat maklum balas dari YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi (Presiden Umno). Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani.

Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See.

Begitu juga dengan Isham Jalil, hatta Puad Zarkashi pun. Saya pun berminat untuk mendengar idea-idea mereka untuk membantu negara mengemudi suasana ekonomi dunia yang mencabar sekarang ini.

Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu. Insya Allah kita akan tahu menjelang Mac nanti.- 19/2/2024

Come on Rafizi…ada yang dah tunggu lama nak berentap

Rafizi Ramli mungkin ada alasan tersendiri kenapa hingga sekarang tidak sahut cabaran orang yang bernama ‘Lim Sian See’ untuk bersemuka dengannya di podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Kini sudah hampir dua minggu berlalu sejak ‘Lim Sian See’ secara terbuka memohon Menteri Ekonomi itu mengundangnya ke podcast itu.

Langkah Rafizi berdiam diri tidak beri sebarang respon sudah tentu akan mengundang pelbagai reaksi..termasuk yang dakwa beliau takut.

‘Lim Sian See’ ini special sikit.Sehingga ke hari ini umum tidak tahu identiti sebenar orangnya.

Ada yang kata dia bangsa Cina dan ada yang kata dia sebenarnya orang Melayu.

Apakah dia lelaki atau wanita?

Apa yang pasti nama ‘Lim Sian See’ itu adalah nama pena atau nama samaran orang misteri ini.

Namun namanya sering muncul dari masa ke semasa dalam pelbagai komentar di media sosial khususnya berkaitan dengan isu ekonomi.

Pengetahuan orang ini mengenai bidang itu nampaknya cukup meluas.

Dari tulisannya orang ini nampak totok penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jadi sudah tentu cukup menarik untuk melihat Rafizi berentap dengan orang ini di podcast ‘Yang Bakar Menteri’.

Lim Sian See membuat permohonan hendak minta diundang tampil di podcast Rafizi dalam ruangan komen Facebook Menteri Ekonomi itu yang membuat hantaran berkaitan isu kejatuhan nilai ringgit.

Dia tegas tidak bersetuju dengan pendapat Rafzi ringgit melemah sekarang disebabkan 1MDB.

“Untuk kali kedua YB Menteri, saya dengan amat rendah diri minta peluang untuk dijemput ke podcast YBM.

Juga cukup menarik ialah “Lim Sian See’ kata dia akan dedah identiti sebenarnya di podcast berkenaan.

“Jika diizinkan, saya akan tampil dengan identiti sebenar saya untuk bertukar pandangan dengan YB,” katanya.

Ini tentu sangat dinantikan …kerana ramai yang sejak sekian lama nak tahu identiti sebenar orang ini.

Podcast ‘Yang Bakar Menteri’ Rafizi mula bersiaran pada 8 Januari lalu.Tetamu pertama YBM adalah Nazri Hamdan @nazribiztalk.

Episod kedua ialah bersama Prof. Barjoyai Bardai pada 22 Januari lalu dan episod ketiga bersama Faiz Azmi (Financial Faiz) pada 5 Feb lalu.

Kata Rafizi podcast YBM bertujuan untuk merancakkan ruang diskusi rakyat mengenai isu ekonomi dan negara.

“Lebih banyak dibincangkan, lebih banyak perspektif dapat dibawa yang akhirnya membantu masyarakat dan negara.

“Pimpinan kerajaan boleh mendengar sendiri perspektif rakyat yang mungkin kami terlepas pandang. Orang ramai boleh mendengar perspektif kerajaan kenapa sesuatu diaturkan sedemikian rupa.

“Yang penting rakyat perlu membuat penilaian dan keputusan berasaskan ilmu dan fakta yang betul.

“Saya akan ke udara setiap dua minggu sekali dan bersemuka dengan tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat. Kami akan terus mencari geng pertikaian yang terpaling ekonomis dari kalangan PN, walaupun setakat ini semua yang dijemput tidak berani dan banyak berdalih,”katanya.

Baru baru ini Rafizi berkata, beliau telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis maya Perikatan Nasional yang berpotensi untuk ‘membakar’ dirinya dalam podcast YBM.

Bagaimanapun sehingga kini semuanya telah menolak dan tidak berani bersemuka termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim.

“Jadi, saya akan berpegang kepada matlamat utama podcast YBM; iaitu memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

“Oleh kerana setakat ini belum ada pemimpin atau penyokong PN yang berani tampil, kami buka juga kepada individu lain. Mereka bukan pembangkang, tetapi ada kecenderungan kritikal dan sinikal dengan kerajaan,” katanya.

Pada Disember lalu timbul sikit kontroversi bila Rafizi yang menukar pelawaannya daripada debat kepada sesi podcast dengan seorang pengiat media sosial ‘YB Viral’.

“YB Viral’ yang giat mengkritik kerajaan Madani bertegas hanya mahu bersemuka dengan Rafizi di acara debat.

“Lebih baik hubungi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk ‘Keluar Sekejap’ jika mahu adakan sesi podcast,”katanya.- 13/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button