TAHUKAH ANDA

Perbicaraan kes ‘Kutty’ Dr Mahathir VS Zahid tangguh ke 19 Julai

Ingat balik…kes isu Kutty dimana Tun Dr Mahathir Mohamad saman Datuk Seri Zahid Hamid atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang telah menjejaskan reputasinya.

Hari ini Selasa sekali lagi perbicaraan kes itu yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hingga 16 Februari terpaksa ditangguhkan.

Kali pertama ia ditangguhkan pada Ssptember tahun lalu.

Pada hari ini ia ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani rawatan di Institiut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu susulan permohonan peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi yang memberitahu bahawa anak guamnya tidak sihat.

Mior Nor Haidir memaklumkan Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lepas dan pihak IJN menghantar surat kepada mahkamah memaklumkan anak guamnya tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini.

“Anak guam kami diberi sijil cuti sakit oleh IJN dari 26 Januari hingga 18 Februari ini. Kami mohon supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan,” kata Mior Nor Haidir yang turut dibantu peguam Rafique Rashid Ali.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Zahid mencadangkan perbicaraan kes itu bermula Oktober.

Sementara itu, Mior Nor Haidir memaklumkan kepada mahkamah pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

Mohamed Shahrul Fazli pula berkata timbalan Perdana Menteri itu dan seorang lagi saksi sepina akan memberi keterangan pada perbicaraan nanti.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Tun Dr Mahathir mendakwa Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dalam ucapan di majlis UMNO itu Zahid merujuk Dr Mahathir sebagai ‘anak kepada Iskandar Kutty’.

Dr Mahathir dalam samannya dakwa kenyataan Zahid adalah palsu dan fitnah bertujuan merosak status beliau sebagai seorang negarawan dan tokoh politik.

Zahid kemudian dalam kenyataan belanya telah nafi dakwaan itu dan menjelaskan beliau cuma merujuk kepada seseorang individu berasaskan salinan kad pengenalan lama.- 13/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button