Debaran pemilihan Presiden Indonesia…

Cara kita ialah pangkah.Di Indonesia pula istilahnya ialah coblos yakni cucuk sampai tembus pada gambar calon di kertas undi.
Perbezaan besar antara sistem Malaysia dengan Indonesia ialah di negara jiran serumpun itu rakyat secara langsung pilih Presiden lima tahun sekali.
Manakala kita Perdana Menteri dipilih menerusi majoriti sokongan kalangan Ahli Parlimen yang menang pilihanraya umum.
Mulai hari ini Rabu perhatian bertumpu ke Indonesia bila negara dengan jumlah penduduk 280 juta ini adakan pemilihan Presiden atau ringkasnya di sana disebut sebagai ‘pilpres’.
Semua sedia maklum tiga pasangan calon presiden dan Naib Presiden akan berentap.
Mereka terdiri dari gandingan Anies Baswedan – Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto – Gibran Rakabuming Raka (anak Presiden Jokowi) dan Ganjar Pranowo – Mahfud MD.
Soalan terbesar bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan ialah apakah kesan pilpres itu kepada negara kita.
Pilpres ini adalah pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia melibatkan lebih 204 juta pengundi.
Memetik kata kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia,Datuk Hermono hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia akan terus kukuh walau siapapun yang bakal dipilih sebagai presiden negara itu.
Hermono meluahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga calon presiden cukup arif mengenai Malaysia.
“Saya tahu betul ketiga-tiga calon, semuanya sudah mengenal sangat baik soal Malaysia dan saya yakin semuanya berkepentingan untuk terus membangun hubungan yang lebih kuat antara kedua-dua negara,” katanya.
Itu bukan cakap basa basi sebagai penyedap bicara.
Probowo,72 misalnya pernah belajar masa sekolah menengah selama dua tahun di Victoria Institution di Kuala Lumpur.
Anies,54 bekas Menteri Pendidikan dan Gabenor Jakarta dan Ganjar,55 bekas Gabenor Jawa Tengah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kalangan pimpinan Malaysia.
Hermono malah menyifatkan hubungan kukuh Malaysia dan Indonesia sebagai sauh (anchor) untuk kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Tenggara.
Isu yang banyak menyangkut hubungan Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama ialah tenaga kerja.
Hermono berharap presiden yang bakal dipilih nanti akan mempercepatkan penyelesaian isu sempadan dan isu pekerja migran Indonesia di Malaysia yang disifatkannya sebagai “homework” untuk pemimpin kedua-dua negara.
“Kalau dua isu ini boleh kita selesaikan, saya kira hubungan Malaysia dan Indonesia akan lebih kuat lagi. Tiada lagi halangan kerana kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama (common interest) dan ingin maju dan memperkuat hubungan dua hala,” katanya.
Ditanya mengenai bidang kerjasama baharu, Hermono berkata, kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan kerjasama membangunkan bidang keselamatan makanan dan tenaga bersih.
Bidang berkenaan sangat strategik untuk Malaysia dan Indonesia memandangkan kedua-dua negara saling melengkapi antara satu sama lain.
“Indonesia mempunyai tanah yang luas dan pekerja yang banyak. Malaysia tanahnya tidak seluas Indonesia, pekerja pertanian juga tidak banyak, tetapi Malaysia mempunyai teknologi yang lebih tinggi (advance) di bidang pertanian.
Macam macam analisa dan hasil survey muncul mengenai siapa mengatasi siapa sejak kempen rasmi pilpres bermula November lalu.
Kebelakangan ini hasil survey yang dibuat terus menerus letak gandingan Prabowo-Gibran paling atas.
Anies-Muhaimin kedua dan Ganjar-Mahfud ketiga.
Namun kalangan penyokong gandingan dua calon itu telah mempertikaikan hasil survey itu.
Gandingan Anies-Muhaimin misalnya buat kejutan bila kempen penutupnya pada 10 Februari lalu di Jakarta International Stadium melimpah ruah dihadiri penyokong baik di dalam dan luar stadium.
Stadium yang dibina masa Anies Gabenor Jakarta itu boleh mengisi lebih 80,000 orang.
Perhimpunan gandingan Prabowo-Gibran di Stadium Gelora Bung Karno di Senayan,Jakarta juga sesak dan padat dihadiri penyokong.
Ganjar dan Mahfud pula adakan perhimpunan kempen terakhir mereka yang tidak kurang hebat di dua bandar Jawa Tengah iaitu Surakarta dan Semarang.
Surakarta adalah kampung halaman Jokowi dan di mana Gibran adalah Datuk Bandar, manakala Semarang adalah kampung halaman Ganjar dan ibu kota provinsi Jawa Tengah.
Soalan paling menarik tentunya apakah Prabowo mampu menebus kegagalannya untuk capai jawatan Presiden Indonesia.
Beliau dua kali tewas berentap dengan Presiden Joko Widodo yakni pada pilpres 2014 dan 2019.
Jokowi hulur salam persahabatan seleps pilpres 2019 yang tegang dengan melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan.
Lebih hebat Probowo kali ini bergabung dengan keluarga Jokowi dimana anaknya Gibran dipertatuhkan sebagai Naib Presiden.
Mampukah ‘pengaruh Jokowi’ menerusi Gibran menjadi talian hayat hasrat Prabowo?
Ini kerana Gibran dikira masih mentah dan baru sangat pada Februari 2021 pegang jawatan Datuk Bandar Surakarta.
Dalam pada itu pencalonan beliau sebagai Naib Presiden diwarnai kontroversi pasal had umur.
Mahkamah Konstitusi telah meluluskan penurunan had umur bawah 45 tahun yang bolehkan Gibran yang berusia 36 tahun bertanding.
Lebih hangat…keputusan bagi membenarkan Gibran bertanding itu diputuskan oleh hakim utama Indonesia yang jugar ipar kepada Jokowi, Anwar Usman.
Ia telah cetuskan isu nasional yang riuh rendah. Jokowi didakwa hendak mewujudkan dinasti politik setelah tempoh khidmatnya selama 10 tahun berakhir Oktober ini.
Peraturan di Indonesia tidak benarkan Presiden pegang jawatan lebih dari dua penggal.
Untuk menang setiap calon harus dapat lebih 50 peratus undi.
Jika bawah dari peratusan itu maka pusingan kedua pilpres akan diadakan pada Jun nanti.
Keputusan pilpres ini akan ambil masa beberapa hari sebelum diumumkan.
Sementara itu debaran akan berterusan.-14/2/2024