Ini bukan cerita dongeng…

Rasa macam tidak percaya…namun ini kisah benar.
Siapa sangka ada orang boleh buat onar sampai begitu gara gara nak popular.
Tidak silap ini kali pertama ada orang bikin ini macam.
Harap harap ia berakhir di sini dan tidak pula ada yang nak tiru aksinya.
Bayangkan jika sabit kesalahan dia boleh kena hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Khamis…polis pada jam 10 pagi telah menahan seorang pekerja p-hailing berusia 25 tahun di rumahnya di Flora Damansara.
Dia ditahan ekoran kejadian pada 1.42 pagi itu dimana sebuah kereta milik polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad terbakar.
Kejadian dipercayai akibat dibaling molotov cocktail berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara.
Apa yang agak mengejutkan ialah suspek itu memuat naik video kejadian tersebut bagi mendapatkan perhatian di aplikasi TikTok.
Dia juga melakukan vandalisme dengan menconteng carutan antikerajaan di dinding hentian bas berhampiran kenderaan yang dibakar itu.
Polis juga menyiasat jika suspek dikaitkan dengan mana-mana parti politik atau kumpulan pelampau.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata ketika suspek ditahan polis turut merampas tukul besi serta botol air berisi petrol disyaki digunakan dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu kerana mahu mendapatkan rating tinggi di aplikasi TikTok dengan cara memuat naik video kejadian melalui telefon bimbitnya selain mahukan perhatian,” katanya dalam kenyataan.
Video suspek berlatar belakangkan kereta berkenaan yang sedang terbakar turut tular di laman sosial.
Ia disertai kapsyen yang mendakwa berpuas hati kerana telah membakar kereta tersebut.
Mohamad Fakhruddin berkata semakan mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing, namun tiada rekod jenayah lampau.
Menurutnya lelaki tersebut akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.-15/2/2024