FOKUS

“Saya tidak mahu bertolak ansur…makilah berbakul”….- Anwar

“Ini hang belajar dari mana?”

“Dia orang tua, jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh?

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim usia dan pangkat tidak sepatutnya dijadikan alasan, untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat rasuah.

Perdana Menteri membangkitkan hal ini ketika menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan ‘perompak-perompak’ besar di negara ini.

“Saya tidak mahu bertolak ansur…makilah berbakul, seranglah macam mana pun saya tidak akan bertolak ansur untuk bersihkan negara ini daripada perompak-perompak besar.

“Saya sudah beritahu hang Datuk Seri ka, Tan Sri ka, hang Tun ka, hang baik kita salute , hang rompak kita tangkap, sumbat dalam penjara. Bilik saya di Sungai Buloh masih ada, kosong,” katanya.

Anwar mengulangi ketegasan terhadap isu rasuah dan penyelewengan ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani – Barangan Basah dan Kering di Lembah Makanan, Bandar Perda, di Permatang Pauh, Jumaat.

Beliau turut membidas ahli Parlimen yang menyokong golongan seumpama itu dengan alasan kasihan melihat mereka diheret atau dihadapkan mahkamah.

Serentak dengan itu beliau mengulangi pendiriannya mencampuri urusan mana- mana pihak berkuasa, termasuk SPRM, Anwar berkata usaha memerangi rasuah dilakukan secara menyeluruh.

Sambil menggesa pihak berkuasa supaya tidak perlu takut untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat rasuah, perdana menteri menegaskan pangkat dan peringkat umur tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Kalau orang itu (amalkan) rasuah, dia patut bimbang… kalau tak rasuah dia tak perlu takut.

“Ini orang yang rasuah berpuluh billion tak berani sentuh, kalau polis sarjan kena (terima rasuah) kes RM200 orang marah habis. Saya tak kata betul (terima rasuah), kalau salah… salahlah.

“Tapi orang yang ambil RM10 billion tak berani sentuh, sebab ada kuasa tak berani sentuh.

“Ini kata dendam, kes lama, kalau ambil RM200 ringgit saya maafkan, tapi kes lama ambil RM20 billion ringgit, itu bukan duit aku, duit hang, tapi itu duit rakyat…” katanya.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya Na’imah Abdul Khalid mengingatkan perdana menteri bahawa kuasa itu singkat dan perhitungan menunggu mereka yang menyalahgunakannya apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kekayaan mereka.

Pada 23 Jan lalu, Naimah, 68, didakwa gagal mengisytiharkan hartanya.

Daim pula didakwa pada 29 Jan lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

SPRM juga telah mengarahkan anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani, untuk mengisytiharkan harta mereka.-16/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button