KEMASKINI : Azam Baki jawab dakwaan Muhyiddin pasal kontrak Spanco…

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hairan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh andaikan beliau dakwa bekas Perdana Menteri itu terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak kepada Spanco Sdn Bhd.
Sambil menafikan andaian berkenaan Azam menjelaskan beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan berkenaan.
“Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan). Namun, ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.
“Jadi, saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di Mersing Ahad.
Azam turut mempersoal maksud penafian dibuat Muhyiddin.
“Apa maksud dia sebenarnya? Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau akan dipanggil.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.
Azam sebelum ini berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan, jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua, termasuk Muhyiddin.
“Khamis lalu, saya menyatakan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas menteri kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak SPANCO.
“Saya juga ketika itu menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan,” katanya.- 25/2/2024
Muhyiddin nafi terlibat salah laku pemberian kontrak kepada SPANCO
Saya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan kononnya saya terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada SPANCO.
Sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar dalam media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana saya terbabit dalam perkara ini dan apakah salah laku tersebut.
Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.
Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa. Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari 2024.
Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah.
Ini adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya.
Berhubung kontrak SPANCO, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan. Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada SPANCO.
Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
23 Februari 2024