FOKUS

Panas…Menteri VS pegawai kerajaan

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing zahirnya nampak seperti seorang ‘tough guy’.

Mereka yang tidak mengenali Ahli Parlimen dari Bintulu,Sarawak ini dari dekat sudah tentu ada persepsi itu melihat pada gaya dan stailnya.

Ingat balik bila beliau terjah Lapangan Terbang KLIA pada hujung Jun 2023 untuk tangani sendiri kes orang pelancong China yang ditahan oleh pihak imigresen.

Polimek isu itu agak panjang juga bila Tiong didakwa ‘main langgar’ hal di luar bidang kuasanya.

Menteri itu bagaimanapun mempertahankan tindak tanduknya atas alasan kehadirannya di KLIA bagi mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang.

Terbaru…Tiong bikin panas lagi bila beliau bertindak turunkan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (TDC) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar atas dakwaan tidak boleh buat kerja.

Isu ini mencuri perhatian bila tular satu surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah TDC berkuat kuasa 24 Februari 2024.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) yang juga memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), P. Manoharan akan dilantik menggantikan Ammar.

Pada Jumaat lalu Ammar dilaporkan meluah rasa kecewa apabila perkhidmatannya selama 36 tahun dalam industri pelancongan ditamatkan.

Dakwa Ammar, sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tetap mempertahankan keputusannya.

Beliau menafikan Ketua Pengarah TDC itu dipecat daripada jawatan sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Tiong berkata keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kemerosotan prestasi Ammar, disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

“Saya bagi dia peluang pasal dia ada PhD (Doktor Falsafah) Pelancongan. Bila dia jalankan tugas dia tak membuktikan dia ada PhD… Pelancong datang sini, tapi destinasi baharu tiada (kerana) dia tidak lakukan libat urus dengan negeri dan negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tiong berkata tiada libat urus dengan pemain industri juga menjadi antara punca pegawai itu diturunkan pangkat.

“Contoh China, saya kata (sasaran) lima juta masuk, pasal mereka betul-betul pelancong dan mereka berbelanja, (tapi) dia kata tak boleh capai, hanya tiga juta pelancong sahaja.

“Namun pelancong yang datang pun tidak sampai tiga juta, (hanya) 1.6 juta pelancong saja. Maksudnya anda tidak menjalankan libat urus, negeri lain mengadu kepada saya kenapa Tourism Malaysia mohon ini tak dapat, tak ada jawapan… jadi ini kita sudah nampak kelemahan itu semua,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan pangkat itu tidak ada kaitan dengan unsur perkauman.

“Kita ikut proses sedia ada, kalau tidak boleh (capai prestasi), kita turun.

“Jadi tidak ada unsur-unsur perkauman. Kalau kita bagi satu kaum sahaja kerja, lain-lain kaum macam mana?

“Kalau beliau (Ammar) tidak boleh buat kerja, jangan buat malu kepada kementerian atau Tourism Malaysia, pergi main simpati atau kata dipecat sedangkan dia turun jadi Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia,” ujarnya.

Tiong berkata walaupun Ammar bakal akan bersara pada bulan Mac tahun hadapan, namun beliau tidak boleh menunggu sehingga tempoh itu dan perlu untuk membuat keputusan demi kelangsungan industri pelancongan Malaysia.

Tindakan Tiong mendapat bantahan dari Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM).

Presiden KPPLPPM Alwi Shakir Abdullah berkata penamatan Ammar sebagai Ketua Pengarah dalam notis singkat bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan menteri tidak boleh campur tangan urusan penjawat awam.

“Kita faham ada kuasa eksekutif menteri atau mana-mana ahli politik sebagai Ahli Parlimen yang dalam pentadbiran.

“Tetapi di manakah had kuasa sehingga boleh menggunakan keseluruhan kuasa dia untuk membuat perkara seperti ini,” katanya.

“KPPLPPM juga berpendapat bahawa Tribunal Penjawat Awam juga perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang dapat digunakan untuk representasi diri jikalau merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka.

“Pihak KPPLPPM bersedia untuk bertemu Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan dari beliau sendiri berhubung perkara ini.

“Di pihak sana pun tidak memberikan apa-apa kenyataan lagi melainkan ada khabar angin kononnya tindakan itu disebabkan faktor prestasi. Tetapi ukuran prestasi kepada industri pelancongan antaranya adalah ketibaan pelancong, data yang dikeluarkan pun meningkat tiada masalah, penerbangan juga berlaku peningkatan,” katanya.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat juga mempersoalkan notis singkat terhadap Ammar.

Katanya mereka faham kuasa menteri tetapi adakah tindakan terhadap Ammar cara terbaik kendali isu berkenaan.

Beliau berpendapat patutnya ada pihak ketiga yang bertindak sebagai penasihat untuk jamin keadilan sebelum keputusan dibuat.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan dari 2015 hingga 2018 yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional Masjid Tanah Melaka Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga menyifatkan tindakan Tiong terhadap Ammar tidak wajar.

Mas Ermieyati mendakwa semasa berurusan dengan Ammar waktu itu beliau menunjukkan sikap dedikasi dan komitmen untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika diminta ulas isu ini menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah TDC adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

“Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.

“Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit,” katanya selepas menghadiri raptai perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu.

Apapun disebalik semua ini ada juga kalangan yang menilai tindakan Tiong tidak perlu dipersoalkan jika apa yang didakwanya pasal prestasi Ammar itu benar.

Menurut mereka industri pelancongan adalah sangat penting bagi ekonomi negara.

Kata mereka negara negara jiran seperti Thailand,Singapura dan Indonesia sudah kedepan dalam gerak langkah mereka untuk menarik pelancong asing.

Jika agensi kerajaan yang bertanggongjawab mengurus hal ini lembab maka Malaysia akan terus ketinggalan jauh.

“Jika betul seperti didakwa oleh Tiong kita tidak boleh berlengah dan terus menerus main sentimen politik,”kata mereka.- 24/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button