Mesej jelas dari Yang Dipertuan Agong…tak akan layan cubaan gugat kestabilan politik negara

“Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.” Itu mesej jelas dalam titah Seri Paduka yang Dipertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada Isnin.
“Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk.
Serentak dengan itu baginda mengingatkan semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan.
“Semua pihak sedia maklum bahawa keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana.
“Oleh itu, saya berharap semua ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha membela nasib hidup mereka dan bukannya untuk kepentingan parti politik dan diri sendiri,” titah baginda.
Untuk tujuan itu Sultan Ibrahim juga menggesa semua ahli parlimen tanpa mengira parti masing-masing untuk bekerjasama ke arah membina negara dan berkhidmat kepada rakyat.
Titah baginda, sebarang kegagalan ataupun kejayaan bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja malah semua 222 ahli Parlimen yang diamanahkan oleh rakyat perlu sama memikul tanggungjawab itu.
Dalam pada itu Yang di-Pertuan Agong memberi ‘lesen’ kepada speaker untuk bertindak tegas ke atas wakil rakyat yang gagal mematuhi disiplin.
Baginda akui pernah berasa “malu” untuk memasuki parlimen selepas melihat tingkah laku sesetengah ahli dewan.
“Kalau tengok perangai ahli parlimen sebelum ni, saya rasa malu hendak masuk ke dewan ni,” titah baginda disambut dengan tepukan meja ahli-ahli parlimen.
Titah baginda lagi, parlimen ialah tempat sesuatu undang-undang negara digubal, justeru ahlinya mesti menunjukkan contoh teladan yang baik.
“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk. Ini adalah yang dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda. – 26/2/2024