Rogol amah…Mahkamah Rayuan kekal keputusan bersalah keatas bekas ADUN DAP

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah keatas bekas Adun DAP Tronoh,Perak Paul Yong merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan kepada Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada 2019.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail pada Jumaat dalam keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan Paul Yong.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong menjadi 8 tahun.
Mahkamah membenarkan permohonan lelaki berusia 53 tahun itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Ia juga membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat satu rumahnya di Taman Meru Desa, Ipoh, Perak, antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.- 1/3/2024