Krisis BERSATU VS ‘Enam Jahanam’…cakap siapa yang boleh pakai?

Kalau ikut pindaan pada perlembagaan parti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Khas BERSATU pada Sabtu…jalan ceritanya cukup ringkas dan mudah saja.
Enam orang Ahli Parlimen dari parti itu yang digelar ‘Enam Jahanam’ yang menang atas tiket Perikatan Nasional semasa pilihanraya umum ke 15 pada November 2022 perlu ‘angkat bungkus’ dan pilihanraya kecil diadakan di enam kawasan berkenaan.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Namun pimpinan BERSATU sedia maklum rintangan yang mereka pasti akan berdepan.
Sejak sebelum dan kini selepas perhimpunan agung khas diadakan yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Selayang, enam Ahli Parlimen yang ‘lompat’ menyuarakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak berganjak.
Seramai 1,956 perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu telah meluluskan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Pindaan itu dilakukan untuk menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Anwar.
“Jika mereka kekal dengan pendirian menyokong Perdana Menteri, maka selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa.
“Dengan itu, kerusi Parlimen yang disandang enam wakil rakyat terbabit akan dikosongkan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Khas itu.
Ditanya mengenai isu retrospektif atau kesan terkebelakang dalam keputusan pindaan semalam, Muhyiddin berkata ia tidak menjadi isu kerana enam Ahli Parlimen itu menyatakan masih lagi ahli BERSATU dan mereka juga tidak disingkirkan parti sehingga sekarang.
“Bagaimanapun, selepas pindaan ini diluluskan, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan hantar surat untuk tanya balik (mengenai pendirian untuk menyokong Anwar).
“Jika dia kata ya (kekal menyokong Perdana Menteri), maka terkesanlah sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan dan kerusi itu mesti dikosongkan,” katanya.
Ditanya mengenai kesediaan wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi secara sukarela, Muhyiddin berkata itu hak mereka.
“Soal dia nak kosongkan secara sukarela, itu soal dia tapi ikut peraturan yang sudah kita luluskan, keputusan itu selari dengan Akta Anti Lompat Parti,” katanya.
Muhyiddin berkata, BERSATU bersama Perikatan Nasional (PN) juga telah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (prk) bagi enam tersebut dan yakin akan menang.
“Kita sudah bersedia untuk hadapi pilihan raya. Mulai hari ini kita akan buat persiapan lengkap. Pilih calon terbaik, bukan tong kosong tapi orang yang kita harapkan,’’ katanya.
“Kita akan mengadakan pilihan raya kecil dan kembalikan mandat kepada rakyat di enam kawasan pilihan raya itu. Pengkhianat akan kalah,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, BERSATU bercadang untuk menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan bahawa enam kerusi Ahli Parlimen itu akan dikosongkan.
“Nak ingatkan Speaker, bila BERSATU hantar notis supaya enam Parlimen dikosongkan iaitu di Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, Bukit Gantang, Jeli dan Tanjong Karang, janganlah tuan Speaker dolak dalik,’’ katanya.
Apapun empat dari enam Ahli Parlimen BERSATU yang berkenaan telah mempersoalkan kesahihan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan itu.
Syed Abu Hussin , Suhaili , Mohd Azizi dan Dr Zulkafperi kata mereka akan cabar pindaan berkenaan di mahkamah.
Suhaili yakin Pebdaftar Pertubuhan tidak akan luluskan pindaan berkenaan.
Katanya mereka juga akan tunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah keatas hal berkenaan.
Syed Abu Hussin menegaskan beliau tidak akan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan kekal dengan keputusan sokong Perdana Menteri.
Dr Zulkafperi berpendapat pindaan itu tiada kaitan dengan Akta Lompat Parti.
Katanya beliau akan rujuk hal berkenaan kepada peguamnya.
Mohd Azizi juga berpendapat pindaan itu tiada kaitan dengan Akta Lompat Parti.
Isunya sekarang cakap siapa yang boleh pakai untuk menjadi referee dalam pertikaian mengenai sahih atau tidak sahihnya pindaan perlembagaan BERSATU itu.
Apakah mahkamah,Speaker Dewan Rakyat atau Pendaftar Pertubuhan? – 2/3/2024