FOKUS

Isu hina Raja Raja Melayu : Haji Hadi utus warkah ‘Junjung Kasih’ kepada Sultan Selangor…

Lima hari selepas ditegur Sultan Selangor kerana buat kenyataan yang dianggap hina Raja Raja Melayu…Presiden PAS Tan Sri Haji hadi Awang utus warkah ‘Junjung Kasih ‘kepada baginda.

Namun isi kandongan warkah berkenaan tidak diketahui setakat ini.

Pada 20 Feb lalu Haji Hadi melalui catatannya di media sosial – mengingatkan semua umat Islam termasuk raja-raja supaya menjaga akidah dan meminta mereka turut memikirkan kehidupan di akhirat dan bukan hanya kepentingan duniawi.

Tulisan beliau itu dipercayai sebagai tindak balas PAS kepada Sultan Sharafuddin yang bertitah meminta semua pihak bertenang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan beberapa peruntukan enakmen dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Pada 29 Feb, Sultan Selangor mengeluarkan teguran terhadap Haji Hadi, antara lain mengatakan peringatan ahli politik tersebut sebagai “tidak beradab”.

Baginda bertitah, Haji Hadi akan memahami mesej sebenar di sebalik kenyataannya yang menyeru agar semua pihak bertenang sekiranya membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Isu kandongan warkah Haji hadi itu masih jadi tandatanya.

Pejabat Presiden PAS cuma kata ,”Adalah dimaklumkan bahawa suatu warkah menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor telah diutus dan diserahkan kepada Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit Baginda Tuanku bertarikh 4 Mac 2024,”

Sementara itu dua anggota polis dari Bukit Aman pada petang ini pergi di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi merakam keterangan Haji Hadi berhubung kenyataan beliau pada 20 Februari itu.

Proses itu ambil masa kira kira sejam.

Bagaimanapun Presiden PAS itu tidak menemui wartawan yang menunggu bangunan berkenaan selepas sesi tersebut berakhir.

Setiausaha Politik Haji Hadi, Syahir Sulaiman, kemudian memberitahu ahli parlimen Marang itu memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Kita serah kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya,” kata Syahir.

Presiden PAS itu disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.- 5/3/2024

KEMASKINI : Polis rakam keterangan Haji Hadi esok,Selasa

Polis akan rakam keterangan Presiden PAS , Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada Selasa.

Keterangan beliau akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pada Isnin rakaman percakapan Presiden PAS itu dibuat susulan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menerima makluman daripada pegawai khas beliau berkaitan keadaan kesihatan beliau,” katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Razarudin menyatakan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Presiden Pas itu.

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden PAS itu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

KEMASKINI : Polis buka kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang disiarkan di portal berita milik parti itu pada 20 Februari lepas yang didakwa ditujukan kepada beberapa pihak termasuk Raja-Raja Melayu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun polis belum mengambil keterangan Abdul Hadi memandangkan keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

“Polis telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan masih menunggu waktu yang sesuai untuk panggil dan ambil keterangan Abdul Hadi,” katanya ketika dihubungi. 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri. 

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini. – BERNAMA – 1/3/2024

BERITA SEBELUM INI : Sultan Selangor amat dukacita kenyataan Haji Hadi

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari 2024 yang bertajuk “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Susulan itu, Baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri.|

Antara intipati surat berkenaan, Baginda menyifatkan Tan Sri Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.

Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda.

Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

Baginda menasihatkan Tan Sri Hadi supaya beliau lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing. 29 Februari 2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button