Ini keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes sensasi pembunuhan Kevin Morais…

Datuk Anthony Kevin Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara tidak dikenali ramai sehingga berlaku kes pembunuhan keatasnya.
Kes itu berlaku selepas dia dilaporkan hilang setelah keluar dari pangsapurinya di Jalan Dutamas,Kuala Lumpur untuk pergi ke tempat kerja di Putrajaya pada pagi 4 September 2015.
Dia berusia 55 tahun waktu kejadian.
5 September 2015…yakni esoknya kereta Proton Perdana miliknya ditemui dalam keadaan sudah dirosakkan dan hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.
Pada 16 September 2015…mayatnya ditemui dalam sebuah tong berisi konkrit di Jalan Subang 3, Taman Subang Mewah, USJ 1.
Pada 10 Julai 2020… Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki terbabit atas tuduhan membunuh Kevin Morais.
Kes ini menjadi super sensasi antara lain kerana salah seorang tertuduh cuba mengaitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat.
Najib telah menyifatkan dakwaan beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai mengarut.
“Sebelum menuduh saya, OKT7 ( orang tertuduh dalam kes berkenaan) ini pernah menuduh adik kepada Kevin menawar RM2 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.
“Sebulan sebelum itu, OKT7 turut mendakwa Dr Kunaseegaran yang turut didakwa dalam kes ini telah menawarkan RM1.5 juta bagi mengaku membunuh Kevin,”katanya.
Najib berkata, sebenarnya pertama kali nama beliau dikaitkan dengan pembunuhan Kevin Morais dibuat portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya dia dibunuh kerana terbabit dalam penyiasatan kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) ataupun SRC.
Beliau berkata, pada masa itu, beliau menganggap tohmahan Sarawak Report itu amat mengarut kerana ramai yang terbabit dalam siasatan untuk setiap kes.
Katanya, tidak logik bahawa Kevin Morais seorang yang dijadikan mangsa, tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?
“Untuk makluman orang ramai, pada akhir Mei lalu selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14), Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd mahupun 1MDB.
“Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report,”katanya.
Enam lelaki yang didapati bersalah bunuh Kevin Morais oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 dan dikenakan hukuman mati ialah bekas pakar patologi Dr R Kunaseegaran ,61, S Ravi Chandaran, 53, R Dinishwaran, 32, AK Thinesh Kumar, 31, M Vishwanath, 34 dan S Nimalan, 31.
Hari ini 14 Mac 2024…Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan terhadap Dr R Kunaseegaran dan lima lelaki lain dalam kes itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah terhadap mereka.
Hadhariah berkata, pembelaan enam lelaki itu yang mendakwa tidak mengenali Morais, tidak mempunyai motif, dan mereka semua orang baik, hanyalah sesuatu yang difikirkan kemudian.
Hakim kanan itu juga memutuskan bahawa jenayah berkenaan sebagai luar biasa justeru enam lelaki terbabit patut dihukum mati.
Semasa membaca keputusan secara sebulat suara, Hadhariah berkata, mahkamah mendapati kejadian pembunuhan itu sebagai suatu yang dirancang dengan rapi.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin berkata, ia berdasarkan keadaan mayat Kevin semasa dijumpai, menunjukkan kekejaman enam lelaki itu.
“Mereka bukan sahaja membunuh mangsa, malah kereta Kevin dibakar dan barang miliknya dibuang.
“Oleh itu pada hemah kami, hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan semua lelaki itu ialah gantung sampai mati,” katanya.
Hadhariah berkata, kejadian bermula apabila, saksi pendakwaan ke-54 (pemandu, G Gunasekaran) bersama tertuduh ketiga hingga tujuh, mengekori Kevin yang memandu kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur.
Setibanya di lampu isyarat, beliau berkata, tertuduh ketujuh turun daripada kenderaan yang dipandu Gunasekaran selepas kereta mangsa dilanggar oleh sebuah lagi kereta Mitsubishi Triton, pada jam 7.38 pagi, 4 September 2015.
Bagaimanapun, kereta mangsa telah dijumpai terbakar 100 peratus di ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak.
“Di akhir kes pendakwaan hakim mahkamah tinggi menilai, bahawa semua lelaki itu kecuali perayu pertama, dilihat kali terakhir berada bersama mangsa, maka mereka mempunyai peluang untuk mengenakan timbalan pendakwa raya itu.
“Berdasarkan hakim bicara sebab kematian Kevin ialah lemas kerana tidak boleh bernafas, yang mana ia boleh disimpulkan kesemua lelaki itu mempunyai niat bersama semasa melanggar, menculik dan membunuh mangsa,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, berdasarkan dapatan pakar forensik kecederaan dan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, menunjukkan kejadian itu tidak boleh dilakukan seorang suspek sahaja.
Berbeza dengan hujahan daripada pembelaan, beliau berkata, enam lelaki ini menyatakan mereka tidak mengenali mangsa, tiada niat atau motif untuk membunuh Kevin.
Beliau berkata, mahkamah mendapati semua isu itu tidak bermerit untuk dipertimbangkan dan pembelaan yang dibangkitkan semua lelaki ini adalah suatu yang difikirkan kemudian.
“Perayu pertama, Kunaseegaran didapati memang mempunyai motif (bunuh) dengan mangsa manakala lima lagi perayu, merupakan orang suruhannya.
“Setelah meneliti semua alasan penghakiman bicara, keterangan yang dikemukakan mahkamah ini, kami dapati hakim itu tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang atau fakta, maka sabitan hukuman yang dikenakan adalah betul,” katanya.
Beliau juga berkata, Kunaseegaran memiliki motif untuk membunuh Morais, manakala lima tertuduh lain bersubahat dalam jenayah tersebut.
“Pembunuhan itu dirancang dengan teliti. Mayat mangsa menunjukkan kekejaman dilakukan oleh semua tertuduh,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, rayuan enam lelaki terhadap sabitan dan hukuman dalam kedua-dua rayuan, ditolak.
Katanya, sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi, dalam kedua-dua rayuan dikekalkan.
Seramai 84 saksi termasuk 14 saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016.
Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang ketika itu membawa hukuman mati mandatori.
Kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tahun lepas, menjadikannya hukuman pilihan bagi membunuh dan kesalahan tertentu yang lain.
Seorang lelaki lain, G Gunasekaran, pada mulanya didakwa bersama enam tertuduh terbabit sebelum mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya pada 20 Dis 2016.
Dia sebaliknya menghadapi pertuduhan alternatif iaitu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan mayat Morais. Gunasekaran mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.
Semasa menjalani hukuman penjara dua tahun atas sabitan berkenaan, Gunasekaran memberi keterangan bagi pihak pendakwaan terhadap enam lelaki terbabit.
Dia dibebaskan dari penjara pada Jan 2017.- 14/3/2024